Ahad, 5 Oktober 2014

Anakku

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 11 Zulhijjah 1435H.
.....ANAKKU
Sewaktu Solat Sunat Idul Adha semalam, Ust. Kay melihat ramai kaum bapa membawa anak-anak kecil mereka untuk solat bersama di masjid. Melihat keletah mereka dengan warna-warni baju Melayu serta bersampin, kelihatan sungguh comel dan duduk tertib di sisi bapa masing-masing. Ust. Kay dulupun comel juga.
Berbanding dengan kanak-kanak yang berada sesama mereka mengambil kesempatan untuk berbual-bual sehingga menyebabkan suasana masjid hingar-bingar. Apa yang menyedihkan lagi dan membimbangkan ialah dalam suasana yang tidak terkawal itu ada yang tidak bersembahyang langsung.
PENCERAHAN :
Namun jika kanak-kanak ini sahaja yang pergi ke masjid tanpa ditemani oleh bapa-bapa mereka, (bapa mereka mungkin sedang beruzlah di rumah sambil membaca surat khabar atau sedang berjemaah di warung menonton WWE) di manakah saf mereka yang sepatutnya?
Pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kehadiran kanak-kanak di dalam saf solat berjemaah akan memutuskan saf seterusnya menghapuskan pahala saf dan pahala berjemaah adalah satu pandangan yang daif. Ust. Kay dulupun terikut-ikut pandangan lama ini tanpa merujuk hadis-hadis yang sahih.

Menyentuh mengenai saf kanak-kanak dalam solat berjemaah, dalil menunjukkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, kanak-kanak dibawa ke masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Aku bercadang memanjangkan solatku. Tiba-tiba aku terdengar tangisan kanak-kanak. Aku mempercepatkan solat bimbang menyusahkan ibunya." (HR: Bukhari dan Muslim)
Apabila kanak-kanak turut sama solat, susunan saf menurut riwayat dari Abdullah ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu daripada hingar-bingar seperti pasar." (HR: At-Tirmidzi)
Imam Ahmad mengatakan makruh berjemaah bersama kanak-kanak di belakang imam kecuali yang sudah baligh (Nailul Autar, 2:224).
Bagaimanapun, ada juga pandangan yang dinukilkan beberapa ulama besar mazhab Syafie seperti Sheikh Abu Hamid; Al-Bandaniji, Al-Qadhi Abu Al-Tayyib; Sahib al-Mustazhiri, dan Al-'Imrani (Sahib Al-Bayan) dan lain-lain menyatakan, sunat letakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang seli-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar solat.

Harus bagi kanak-kanak untuk berada di dalam saf (orang dewasa), tidak kira samada di saf pertama, kedua atau sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan seandainya kita meletakkan mereka berada bersama-sama dengan golongan dewasa, sekalipun mereka belum berkhatan. Perkara ini adalah pendapat yang Mu'tabar, dalam Mazhab Syafi'iyah seperti yang dijelaskan oleh Profesor Dr Wabbah Az-Zuhaili di dalam 'Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu' (Jilid 1, Halaman 576).

Lebih menyedihkan lagi ialah sesetengah jemaah (orang dewasa) mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan di dalam satu saf yang berlainan (lazimnya di bahagian belakang, agak jauh dari saf orang dewasa, siap papan tanda lagi 'HAD SAF KANAK-KANAK'). Apa yang pasti ialah Baginda Rasulullah SAW sendiri menggalakkan kanak-kanak berada hampir dan bersama ibu bapa atau penjaga mereka, supaya mereka tidak mengganggu solat berjamaah yang sedang dilakukan.
Perkara ini disebutkan dengan jelas oleh Ulama' Hadis seperti Al-Manawi di dalam 'Faidhil Qadir' dan Az-Zailaghi di dalam 'Nasbur Rayah' (Jilid 2, Halaman 491). Bagaimanapun, keadaan itu berubah-ubah mengikut situasi:
1- Sunat
Sekiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai
pusat ukhwah dalam masyarakat.
2- Harus
Sekiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.
3- Makruh bahkan Haram
Sekiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.
Bagaimana pula dalam situasi kanak-kanak yang berada di saf hadapan itu, dipindahkan kepada saf yang ke belakang? Maka ulama mengatakan bahawa perbuatan ini menyalahi hadis sahih dimana Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
لا يقيم الرجل الرجل من مجلسه ثم يجلس فيه
"Tidak boleh seorang lelaki menyuruh seorang lelaki yang lain berdiri dari tempat duduknya,
kemudian dia pun duduk (menggantikannya) di tempatnya ". (HR: Bukhari)
Jika kanak-kanak itu telah duduk di saf depan, mereka tidak boleh dipindahkan ke saf yang yang belakang. Adalah menjadi hak kepada
sesiapa saja yang sampai awal ke masjid untuk duduk di saf yang hadapan. Kanak-kanak pergi awal ke masjid dan duduk di saf yang awal perlulah dihargai perbuatan mereka.

Kalau ibubapa boleh membawa anak-anak pergi menonton wayang, konsert, Istana Budaya, Sri Pentas, funfair dan lain-lain tempat hiburan. Membawa anak-anak makan di luar sesekali mengapa tidak membawa mereka memenuhi masjid?
Cuma, kanak-kanak yang hadir solat berjemaah perlu dijaga mereka agar tidak membuat hingar bangar dalam masjid seperti tegahan Rasulullah SAW. Boleh juga pihak masjid adakan petugas mengawasi kanak-kanak dengan beberapa orang berjemaah solat bersama mereka atau ibu bapa mereka sendiri.
KESIMPULAN :
1) Disunatkan meletakkan golongan dewasa di saf terawal terutama di belakang imam untuk tujuan membantu imam jika salah atau lupa.
2) Kanak-kanak yang mendahului orang dewasa dalam mengambil tempat di dalam saf depan, maka tidak seharusnya kanak-kanak itu dipindahkan ke belakang.
3) Tiada nas secara jelas yang menganjurkan agar diasingkan saf kanak-kanak dari orang dewasa, begitu juga di dalam mazhab Syafi’ie.
Wallahu a'lam - Pernah jadi kanak-kanak yang diasingkan ketika solat, terasa seperti pendatang asing atau makhluk asing. Maaf agak panjang sikit, ikut keperluan ya... Ukay's.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...