Isnin, 24 Februari 2014

Maksud Silaturrahim Yang Sebenar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH PAGI INI...
Maksud Silaturrahim Yang Sebenar !

Bersilaturrahim bukan sekadar berkenal-kenalan, berjabat tangan atau memohon maaf bersalam-salaman. Ada sesuatu yang lebih hakiki dari itu semua, iaitu aspek mental dan ketulusan hati. Hal ini sesuai dengan kata asal dari silaturrahim itu sendiri, iaitu 'silah' atau 'wasal' yang bererti menyambungkan atau menghimpun, dan 'rahim' yang bererti kasih sayang. Membawa maksud sebuah proses aktif dari sesuatu yang asalnya tidak bersambung kepada bersambung.

Menghimpun pula biasanya mengandungi makna sesuatu yang tercerai-berai dan berselerakan, menjadi sesuatu yang bersatu dan utuh kembali. Tentang hal ini Rasulullah saw bersabda, "Yang disebut bersilaturrahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturrahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus" (HR : Bukhari).

PENCERAHAN :
Kalau orang lain mengunjungi kita dan kita balas mengunjunginya, ini tidak memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Boleh jadi kita melakukannya kerana merasa malu atau berhutang budi kepada orang tersebut. Namun, bila ada orang yang tidak pernah bersilaturrahim kepada kita, lalu dengan sengaja kita mengunjunginya walau harus menempuh jarak yang jauh dan memenatkan, maka inilah yang disebut silaturrahim.

Apalagi kalau kita bersilaturrahim kepada orang yang sedia membenci kita, seseorang yang sangat menghindari pertemuan dengan kita, lalu kita menggagahkan diri untuk bertemu dengannya. Inilah silaturrahim yang sebenarnya.

Rasulullah saw pernah memberikan nasihat kepada para sahabat, "Hendaklah kamu mengharapkan kemuliaan dari Allah". Para sahabat pun bertanya, "Apakah yang dimaksud itu, Ya Rasulullah?" Baginda kemudian bersabda lagi, "Hendaklah kamu suka menghubungkan tali silaturrahim kepada orang yang telah memutuskannya, memberi sesuatu (hadiah) kepada orang yang tidak pernah memberi sesuatu kepada kamu, dan hendaklah kamu bersabar (jangan lekas marah) kepada orang yang menganggap kamu bodoh." (HR : Hakim).

Dalam hadis lain dikisahkan pula, "Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?" tanya Rasulullah saw kepada para sahabat. "Tentu saja," jawab mereka. Baginda kemudian menjelaskan, "Engkau damaikan orang yang bertengkar, menyembungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-mara yang terpisah, menyatukan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan tali persaudaraan di antara mereka adalah amal saleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturrahim"
(HR : Bukhari dan Muslim)

KESIMPULAN :
Silaturrahim adalah jalan menghubungkan kembali hubungan yang telah terputus. Ulama' sebut kita asal dari rahim yang sama iaitu rahim Siti Hawa dan sama-sama hamba kepada Ar-Rahim, jadi kenapa kita harus terputus?

Mutaakhir ini, banyak alat perhubungan telah tercipta... tujuan asal memang untuk memudahkan perhubungan sesama manusia tetapi alat ini jugalah yang banyak memutuskan hubungan manusia. Contoh, bila bertemu tiga - empat orang rakan di kedai kopi, bukan lagi bersembang tapi masing-masing dengan asyik melayan gadget masing-masing.

Berapa banyak rumah-tangga yang bercerai-berai. Berapa ramai saudara-mara, jiran-tetangga, rakan-taulan, rakan setempat kerja, rakan tapi mesra... yang akhirnya bermasam muka, muncung mencuka, tidak lagi bertegur sapa hanya kerana 'update status' alat perhubungan mereka...! Berpunca kerana lupa atau tidak selalu 'update status' dengan-Nya !
Wallahu 'alam -

Terima kasih dan semoga istiqamah Ust Kay.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...