Selasa, 7 Oktober 2014

Anakku 2

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 12 Zulhijjah 1435H. ANAKKU...2
Semua yang Ust. Kay sampaikan selama ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mesti para pembaca terima atau paksa untuk terima. 'Wal iya zubillah' untuk menidak atau memburukkan pandangan ulama'-ulama' terdahulu. Ust. Kay cuma beri 'second opinion' pada perkara yang berlaku ikhtilaf ulama'. Untuk terus beramal atau berpegang pada pandangan yang lama atau baru selama mana ia tidak mungkar yang mutlak adalah diharuskan. Ust. Kay bertawakuf dengan kata-kata Ust. Azhar Idrus (UAI); "Selagi ada ulama' yang berpendapat membenarkannya maka ia bukan mungkar yang mutlak untuk kita beramal dengannya."

PENCERAHAN :
Pada kali ini, seperti yang Ust. Kay janjikan akan cuba membincangkan hal berkaitan kenajisan pada kanak-kanak dalam solat. (sebelum itu ops ! Ust. Kay bukan Wahabi ye..)
1) Rasulullah SAW pernah membiarkan Anas berdiri bersama dengan kanak-kanak. Jika dengan alasan kebersihan (atau kenajisan) kanak-kanak itu, sembahyang Anas menjadi tidak sah tentu Baginda akan menyusun saf dengan meletakkan Anas di kanannya kemudian anak yatim tersebut di belakangnya.
2) Terdapat hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengendong cucunya ketika solat, serta cucu Baginda naik ke atas tengkuk Baginda. Melihatkan kepada ini, ia memberi maksud bahawa budak belum baligh tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan solat. (namun harus diingat cucu-cucu baginda telah dikhatankan sejak dari kecil dahulu)

3) Di dalam Islam, digalakkan untuk mengerjakan solat seawal usia kanak-kanak lagi. Seperti mana sabda Rasulullah SAW:
.”مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع واضربوهم عليها وهم أبناء عشر، وفرقوا بينهم في المضاجع”
“Perintahlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berusia 7 tahun, dan pukullah mereka (yang tidak mencederakan) bila usia 10 tahun jika tidak mengerjakan solat, serta pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka.” (HR : Imam Abu Daud)
Menurut Ustaz Syed Shahridzuan dalam ceramahnya, jikalau kanak-kanak tadi ada yang belum berkhatan maka perintah solat ke atas mereka adalah sia-sia dan tidak sah. Ia suatu perkara yang mustahil. Sedangkan solat individu yang tidak berkhatan tetap sah, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk.

4) Begitu juga haji orang yang tidak berkhatan adalah sah, ini adalah pendapat Mazhab Syafi’e dan pendapat jumhur para ulama'. Jika haji orang yang tidak berkhatan itu sah maka solat orang yang tidak berkhatan juga adalah sah. Ini bermakna, kanak-kanak yang belum berkhatan didakwa membawa najis sekali pun maka ia tidak memberi kesan pada solat berjemaah.
5) Secara jelas diiktiraf di dalam mazhab Syafi’e seperti yang dinyatakan di dalam kitab ‘Bughyah al-Mustarsyidin’ oleh Sheikh al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Ba ‘Alawi:
لو كان في الصف من لا تصح صلاته لنحو نجاسة أو لحن ، أو كان أهل الصف المتقدم كذلك ، لم تفت فضيلة الجماعة على من وراءهم.
بغية المسترشدين في تلخيص فتاوى بعض الأئمة من العلماء المتأخرين, عبد الرحمن بن محمد بن حسين بن عمر باعلوي
“Jika ada di dalam saf sesiapa yang tiada sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada Lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau pada saf yang di hadapan terdapat orang yang berkeadaan sedemikian, maka tidak luput fadilat jemaah mereka yang berada di belakang mereka.”
6) Imam An-Nawawi juga telah menegaskan di dalam Rawdah at-Talobin dengan katanya, sekiranya seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci pada jasadnya (seperti kanak-kanak) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka tidak batal solatnya. (Rujuk Rawdah at-Tolibin, 1/274).

7) Juga tidak membatalkan solat jika sentuhan itu tidak secara langsung dengan najis yang ditanggungi. Jika secara langsung terbatal solat seseorang itu tapi tidak pada wuduknya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih dan tidak perlu memperbaharui wuduknya.
8) Jika bersentuh secara tidak langsung dengan kanak-kanak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau dirinya menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana mereka bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.
9) Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita (orang dewasa) menanggung kanak-kanak ini, ia disebut dalam Mazhab Syafi'e sebagai 'Haamil limuttasil binajastin'. Sama ada dengan mendukungnya atau dia memanjat belakang semasa sujud atau duduk di atas riba semasa sedang tasyahhud akhir (Mughni Al-Muhtaj, 1/236 cet Dar al-Fikr)

10) Namun jika anak kecil yang menanggung najis duduk di riba kita dan dielak dengan segera, ia tidak membatalkan solat. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, Bab: Perkara yang Membatalkan Solat. 1/169, Lihat juga: Uzar, Mutiara Akidah dan Ibadat ms 175-176)

11) Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam al-Fiqh al-Islami (1/576) yang merujuk kepada kitab al-Muhazzab dan al-Majmu’ karangan Imam An-Nawawi menyebut: “Tiada perselisihan di dalam mazhab Syafi'e dan Hanafi bahawa tidak memudaratkan (membatalkan solat) membawa kanak-kanak yang tidak zahir padanya najis, maka sekiranya dia membawa haiwan (sekalipun) yang suci dalam solatnya maka sah solatnya kerana Nabi SAW membawa Umamah binti Abu al-‘As di dalam solatnya. Kerana najis yang ada pada haiwan itu adalah pada tempatnya (tidak merebak keluar) dan ianya samalah dengan najis yang berada di dalam perut orang yang solat”.
KESIMPULAN :
Sekadar berkongsi pandangan. Anda boleh bersetuju bersama saya atau boleh sama-sama bersetuju untuk tidak bersetuju dengan saya. Wallahu a'lam -Kita boleh setuju, duatuju, tigatuju atau berbilang tuju pada masalah furu'iyyah. Maaf... terpanjang lagi ! Ukay's

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...