Isnin, 22 Disember 2014

Hikmah Bermusafir

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin, 29 Safar 1436H.
BERMUSAFIRLAH...

Di sini kau berdiri
berpijak di bumi
menjunjung langit yang luas
Pernahkah kau berfikir
alam penuh rahsia
anugerah yang maha esa

Berjalan, bermusafirlah
melihat kebesaran tuhan
yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir
dan bersyukur di atas nikmat
dan kurnianya
nilai harganya,iman dan taqwa
bagi hamba yang setia

Tiada beza warna, kulit atau rupa
yang ada hanya insan yang lemah
dengan satu tujuan mencari keredhaan
dan berbudi di bumi tuhan

Fikirkanlah... dimana arah kita
Renungilah... hikmah kembara
menuju kasih
buktikan cinta kita...
kepadanya...
ini kembara kita

lirik lagu : Hikmah Kembara
Kumpulan : Mirwana

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُور

"Maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi ialah yang ada di dada" (QS Al-Hajj: 46)

PENCERAHAN :
Kembara atau musafir mengajar kita erti sabar, pengorbanan, bersyukur, ilmu dan hikmah. Bermusafir merupakan antara aktiviti yang Ust. Kay mula gemari kerana dari situ kita akan lebih mengenal erti kehidupan, berta'aruf dengan alam ciptaan Tuhan dan mengharungi cabarannya. Orang kata, jauh berjalan maka luaslah pemandangan dan bertambah kenalan. Alhamdulillah... Sepanjang cuti sekolah ini, banyak tempat juga Ust. Kay dapat bermusafir dalam siri Jelajah Buku CCUK antaranya ialah ke Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan baru sahaja selesai di Johor Bharu (syukran Ust. Samista dan Ust. Wanto yang telah menyusun program CCUK di sana)

Hidup kita di dunia ini pun sebenarnya juga satu pemusafiran menuju ke akhirat. Jadi, sudah tentu pastinya ada hikmah bila kita bermusafir di atas dunia ini. Antaranya ialah :

1) Dapat menyegarkan jiwa dan anggota badan. Orang yang bermusafir memerlukan kepada kekuatan, kecergasan badan dan kecekalan hati untuk bergerak menepati masa.
2) Dengan bermusafir juga dapat mempertajamkan akal fikiran kita tentang alam, masyarakat, suasana dan persitiwa dalam tempoh perjalanan. Fikiran kita akan di latih untuk mencari hikmah dari perkara-perkata tersirat sekaligus dapat di jadikan teladan dalam menjalani kehidupan kita seharian.
3) Pemandangan di kiri-kanan sepanjang perjalanan dan perubahan suasana juga dapat memberi ketenangan dan kerehatan pada jiwa.
4) Bila kita merenung pada nasib manusia yang ditemui semasa musafir, akan timbullah rasa simpati, rasa syukur dan semangat untuk lebih berusaha untuk memperjuangkan hidupnya.
5) Segala masalah yang timbul semasa musafir dapat melatih diri supaya bersabar dalam menghadapi apa jua keadaan. Semasa musafir kita terpaksa menghadapi berbagai karenah manusia dan peristiwa yang tidak kita duga dan kita sukai. Ini akan melatih kita agar bersifat redha dan sabar.
6) Kesusahan dan ujian sewaktu bermusafir merupakan didikan terus dari Allah yang dapat mencabut sifat-sifat mazmumah seperti terburu-buru, pemarah dan sebagainya.
7) Menghilangkan sifat malas dan lembab. Jika akal dan jiwa tidak dicergaskan melalui musafir maka akan timbullah sifat malas dan lembab yang akan membantutkan kecemerlangan diri.

Sebagai tambahannya, hikmah musafir yang lain ialah :
1. Dapat menghilangkan kesedihan yang menimpa diri. Nabi SAW pun diisra' dan dimi'rajkan oleh Allah SWT ketika baginda dalam kesedihan.
2. Dapat membina kehidupan dan impian baru.
3. Dapat memperolehi ilmu baru.
4. Dapat membina keputusan malah mengubah pandangan daripada statik kepada lebih dinamik.
5. Dapat bergaul dan berkenalan dengan pelbagai rencam dan budaya manusia dan bangsa.

KESIMPULAN :
Inilah impian kebanyakan orang, untuk mengembara dan merasai pengalaman berada di tempat orang. Telah dinyatakan bahawasanya individu yang duduk sahaja di suatu tempat tidak akan sama dengan orang yang telah bergerak di banyak tempat. Namun sempadan perlu diletakkan supaya tujuan bermusafir itu biarlah ibadah, bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi untuk bermaksiat. Wallahu a'lam - Berusahalah untuk sentiasa bersedia hikmah sebelum kembara. Berusahalah untuk menjadi orang yang berfikir semasa bermusafir. Berusahalah untuk meraih ketaqwaan di akhir pengembaraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...