Jumaat, 19 September 2014

Musabaqah Teka Kacang

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Isnin,19 Zulkaedah 1435H
. MUSABAQAH TEKA KACANG 
Semalam Ust. Kay bincangkan pertandingan memancing. Bukan memancing ikan tetapi lebih kepada memancing duit penyertaan para peserta yang akhirnya jadi bentuk perjudian yang terhormat. Hari ini Ust. Kay nak bincangkan banyak lagi bentuk-bentuk sukan atau aktiviti yang tanpa kita sedari ia merupakan judi.
PENCERAHAN :
CABUTAN BERTUAH. Sebelum kita melihat bentuk-bentuk semasa cabutan bertuah, jika dilihat dari sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat' atau ‘pertandingan'. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia akan jatuh dalam masalah judi ataupun gharar.
Para ulama bersependapat mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-
* Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.
* Mengambil harta orang lain dalam situasi 'mukhatarah' atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat. Bergantung pada tuah (game of luck)
هو كل لعب تردد بين غرم وغنم
Ertinya : "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" (Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)
Dalam bentuk-bentuk lain seperti :
1) Mereka yang ingin menyertai cabutan bertuah mestilah membayar yuran tertentu secara langsung dan wang itu akan hangus jika tidak menang.
2) Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM100 yuran bagi sesiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi sesiapa yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanyalah RM90. Beza RM10 itu adalah judi.
3) Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu.
4) Yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi dari biasa. Sebagai contoh, pihak pasaraya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan tertentu yang telah dinaikkan harganya dari harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan. Jika harga barangan kekal, HARUS.
Terdapat beberapa ulama yang menganggap permainan atau pertandingan yang beserta hadiah sebagai 'Wa'd Bi Tabarru' atau janji untuk bersedeqah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasfifikasikannya sebagai aqad mu'awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung semata-mata (Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm.76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini semua hukum akan berubah bentuknya. Di antara beberapa jenis pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita, ia seperti berikut :-
1) TEKA KACANG atau TEKA BIJI BETIK. Biasa diadakan semasa Hari Kantin di sekolah atau pada karnival-karnival tertentu. Setiap satu tekaan dikenakan yuran 50 sen. Jika tekaan tidak tepat wang tidak dikembalikan, ini judi.
2) MONEY DROP Game Show. Rancangan TV yang famous satu masa dahulu. Pada mulanya setiap peserta diberikan modal RM 1 juta, kemudian bertaruh pada jawapan yang betul. Asalnya harus kemudian menjadi haram kerana jadi perjudian.
3) BETTING : Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya. Hukumnya haram
4) Dua orang sedang bermain Badminton, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggang.
لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر
"Tidak harus (haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya : Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"(Badai As-Sonaie; Al-Kasani)
Hukum : Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membayar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.
5) Dua orang atau lebih sedang bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang. Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor 4 di atas.
6) Membeli surat khabar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya. Hukumnya harus. Demikian pandangan terkuat menurut beberapa ulama seperti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu'asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, 2003 ) 
Keharusan ini adalah kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat serta khabar, kecualilah jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi. Begitulah juga game-game atau dalam bentuk DERMA BERTUAH yang seformat dengannya.
KESIMPULAN :
Elakkan sebarang bentuk judi, baru hidup akan diberkati. Wallahu a'lam - Arwah datuk bernama Hj. Judi seorang yang warak. Al Jud bermaksud murah hati @ mulia. Ukay's

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...