Sabtu, 29 Mac 2014

Al-Firqah an-Najiyah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH HARI INI (Sabtu, 27 Jdl. Awal 1435
Al-Firqah an-Najiyah

Telah bersabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW, maknanya: “Dan sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 di antaranya di neraka dan hanya satu yang di syurga iaitu al-Jama’ah”. (HR: Abu Dawud)
Akal adalah syahid (saksi dan bukti) akan kebenaran syara’. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh ulama tauhid atau ulama al-kalam (teologi). Yang mereka lakukan adalah taufiq (pemaduan) antara kebenaran syara’ dengan kebenaran akal, mengikuti jejak nabi Ibrahim. Seperti dikisahkan al-Quran ketika membantah raja Namrud dan kaumnya, di mana baginda menundukkan mereka dengan dalil akal.
PENCERAHAN :
Ada tuduhan dari sesetengah golongan yang menyatakan kelompok yang berpegang kepada Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) sebagai sesat kerana berhujahkan hujah akal.
Sedangkan berfikir, berhujah dengan akal juga adalah sesuatu yg dituntut dan diperintahkan oleh Allah SWT. Dengan ungkapan-ungkapan "afala ya'kilun...afala tatafakkarun... laa'llahum yatafakkarun...ya ulil albab" dan sebagainya.

Fungsi akal dalam agama adalah sebagai saksi bagi kebenaran syara’ bukan sebagai peletak dasar bagi agama itu sendiri. Berbeza dengan golongan falsafah yang berbicara tentang Allah, malaikat dan banyak hal lainnya yang hanya berdasarkan penilaian akal semata-mata. Mereka menjadikan akal sebagai dasar agama tanpa memandang ajaran yang dibawa para nabi dan rasul.

Tuduhan kaum Musyabbihah dan Mujassimah iaitu kaum yang sama sekali tidak memfungsikan akal dalam agama, terhadap Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai ’Aqlaniyyun (kaum yang hanya mengutamakan akal) atau sebagai kaum Mu’tazilah atau Afrakh al-Mu’tazilah (anak tunas kaum Mu’tazilah) dengan alasan kerana menggunakan akal sebagai salah satu sumber utama, adalah tuduhan yang amat salah. Ini tidak ubah seperti kata pepatah arab “Qabihul Kalam Silahulliam” kata-kata yang buruk adalah senjata para pengecut.

Oleh itu Ahli Sunnah tidak menolak menggunakan hujjah akal selain rujukan utama yang berpaksikan sumber wahyu Allah dan sunnah Rasulullah SAW tetap diterima pakai oleh ulama ASWJ sejak awal lagi seperti pegangan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.

Ahli Sunnah contohnya percaya bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu. Maksud hadis terputus semua 'amalannya' perlu difahami dengan jelas. Amalannya memang terputus sebab dia sudah meninggal dunia dan tak dapat beramal lagi tapi amalan orang lain untuknya insya Allah tidak terputus dan akan sampai dengan izin Allah jua. Contoh niatkan sumbangan sedekah pahalanya untuk si arwah.

Dalam Ahli Sunnah, ulama'nya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi ada golongan dan aliran yang mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan seumpamanya.

KESIMPULAN :
Banyak lagi perbezaan antara fahaman Ahli Sunnah dengan aliran yang bertentangan jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman yang berlainan ini memang wujud daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya walaupun mungkin ada kebaikannya.

Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay.

Jumaat, 14 Mac 2014

Tawakkal

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
Tawakkal
‘Tawakal’ (توكُل‎) berasal dari perkataan Arab ‘Wakalah’ yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain.
Menurut Abu Zakaria Ansari, ‘Tawakal’ ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Sifat sedemikian berlaku selepas timbulnya rasa percaya kepada orang yang diserahkan urusan tadi. Maksudnya, dia mesti mempunyai sifat amanah (dipercayai) terhadap apa yang diamanahkan dan dia boleh memberikan rasa tenang dan selamat terhadap orang yang memberikan amanah tersebut.
Imam al-Ghazali pula merumuskan definisi ‘Tawakal’ sebagai, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah سبحانه و تعالى  tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram.”
PENCERAHAN :
Dalam meletakkan sandaran dan perwakilan sebagai kepercayaan sepenuh hati bagi sesuatu urusan, pastinya diperlukan wakil yang diyakini dan diketahui kredibilitinya dan melengkapi empat sifat, iaitu :
1) Muntahal-Hidayah (kepercayaannya dan diyakini kebenaran),
2) Muntahal-Quwwah (paling kuat atau mempunyai kemampuan),
3) Muntahal-Fashahah (paling lancar dan cukup berpengetahuan),
4) Muntahas-Syafaqah (diyakini paling perihatin dan kasih sayang).
Tiada makhluk yang diciptakan-Nya berupaya memenuhi semua 4 sifat di atas untuk disandarkan kepercayaan. Semua sifat dan kateria di atas hanyalah ada pada Allah SWT sahaja.
Allah berfirman dalam ayat yang dikenali sebagai 'Ayat 1000 Dinar';
"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (QS: Ath- Thalaaq ayat 2 - 3)
Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, karangan Almarhum Syeikh Yathi Fakan, ada menyebutkan dalam bab ‘Saya Mestilah Muslim dari Sudut Akidah’:
Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.
Sifat ini menepati seruan Allah S.W.T:
"...Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya..." (QS: Ath-Talaq ayat 3)
‘Kenallah Allah Pada Masa Lapang’ dalam buku Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) pula menyatakan Rasulullah meneruskan pengajaran kepada Ibnu Abbas ra, iaitu:
"Peliharalah Allah nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Ia kenal engkau pada masa susah di kala engkau sedang mengalami perkara yang sukar."
KESIMPULAN :
Hati ini mengajak diri untuk bertawakal, berserah diri kepada Allah. Semoga segala usaha dan doa yang telah dipanjatkan kepadaNya dimakbulkan dan dikurniakan keputusan yang diharapkan.
Cuma harus diingatkan usaha yang dilakukan sebelum bertawakkal itu adalah usaha yang bersesuaian, munasabah dan tidak bertentangan dengan syarak. Contoh, mencari barang yang hilang hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh bukan dengan duduk atas tikar, buat aksi dayung guna tongkat, angkat raga dan dua biji buah kelapa ! Sebab nanti yang yang dicari belum tentu dapat yang confirmed hilang ialah akidah dan maruah...
Wallahu a'lam - Doakan isytiqamah Ust Kay.

Jumaat, 7 Mac 2014

Jadilah Manusia Terbaik

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

Jadilah Manusia Terbaik 

Setiap orang mendambakan menjadi yang terbaik. Sebagai seorang muslim, orientasi hidup untuk menjadi yang terbaik bukanlah dinilai dari ukuran KPI manusia semata-mata, tetapi kerana mengharapkan redha Allah Ta'ala. Konsep untuk menjadi manusia yang terbaik dalam Islam antaranya ialah :
1. Tidak culas untuk melunaskankan hutang-piutang.
"Abu Hurairah r.a meriwayatkan: "Bahawa Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang." (HR: Muttafaqun 'alaih)
2. Belajar Al-Quran dan mengajarkannya.
عَنْ عُثْمَانَ - رضى الله عنه- عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ» رواه البخاري
Othman bin Affan r.a berkata: "Bahawa Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." (HR: Bukhari)
3. Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan paling jauh keburukannya. Jadilah orang yang ketiadaannya dicari, kehadirannya dinanti, kepergiannya dirindui dan kematiannya ditangisi. Bukan ketiadaannya disyukuri, kehadirannya dibenci, kepergiannya dikenduri dan kematiannya cepat-cepat dilupai...
4. Menjadi suami yang paling baik terhadap keluarganya.
Aisyah r.anha berkata: "Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku." (HR: Tirmidzi)
5. Orang yang paling baik akhlaknya jika menuntut ilmu.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- «خَيْرُكُمْ إِسْلاَماً أَحَاسِنُكُمْ أَخْلاَقاً إِذَا فَقِهُوا» رواه أحمد 
Abu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah saw bersabda:"Sebaik-baik kalian Islamnya adalah yang paling baik akhlak jika mereka menuntut ilmu."
(HR: Ahmad)
6. Orang yang memberikan makanan.
Rajin-rajinkanlah menjamu atau memberi orang makan. Terutamanya kepada golongan fakir miskin dan anak-anak yatim. Semakin banyak kita memberi orang makan semakin murahlah rezeki kita. Jangan asyik mengharapkan orang belanja kita saja. Berebutlah untuk membayarnya... boleh ?
7. Orang yang panjang umur dan baik amalannya.
Bukan orang yang uban dah berterabur, mata dah kabur, gigi dah gugur, kekuatan pun dah luntur, badan dah tak subur, jalan pun boleh diukur, dengar kuliah pun asyik tertidur, tapi masih tak bersyukur, dipanjangkan umur, bahkan kufur, masih ingin lagi berhibur, dengan gadis genit yang menggiur, masih rajin beratur di kedai nombor ekor. Lupa... rumah kata pergi, mari sini kata kubur !
8. Orang yang paling bermanfaat bagi manusia
عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Jabir r.anhuma bercerita bahawa Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia." (Hadis dihasankan oleh al-Albani di dalam Sahihul Jami' no. 3289).
KESIMPULAN :
Bukannya susah pun nak jadi baik. Tapi nak jadi jahat lagi mudah. Sebenarnya susah jadi orang jahat ni... Polis cari, orang benci, nak masuk disko kena bayar, minum arak mahal, melanggan pelacur kena bayar tetapi orang  tetap cenderung nak jadi jahat. Walhal kalau jadi baik polis tak cari, orang suka, masuk masjid tak kena bayar, minum air masak lagi murah, mendatangi isteri dikira sedekah tapi orang tak mahu jadi baik...pelik !
Adalah baik menjadi orang penting... tetapi adalah lebih penting menjadi orang yang baik. Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay.

Khamis, 6 Mac 2014

Kem Imam Muda

Tarikh : 5 - 6 Mac 2014
Tempat : ILDAS Sg Lang Sabak Bernam
Kem Imam Muda tahun 2014.... lapan buah sekolah yang menyertai kem ini. Semoga mereka menjadi imam yang baik .

Isnin, 3 Mac 2014

Bacaan Yasin

Program Bacaan Yasin diadakan pada setiap pagi jumaat bermula jam 7.15 hingga 7.30 pagi. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana program ini telah bermula minggu yang pertama hingga minggu terakhir persekolahan.
Terima kasih kepada ustaz Ahmad Muhid dan ustaz Ridzuan yang sentiasa menjadi pembimbing untuk bacaan yasin  . Selain kedua2 ustaz ini... guru2 lain juga terlibat sbg pembimbing bacaan yasin. 
Semoga anak2 didik kami ini ....lebih dekat dengan al-quran. Dari gagap membaca akhirnya boleh membaca yasin dengan lancar. Dari tidak hafal ... akhirnya hafal .    Semoga generasi 'y' ini cinta al-quran , dpt menghayati seterusnya mengamalkan isi kandungannya.
walaupun ia bermula seawal 7.15 pagi ....alhamdulillah semakin ramai yang hadir awal untuk bersama2 dalam program ini.
Guru2 pun turut serta dalam program ini...
Memohon doa ke hadrat Ilahi... semoga doa dimakbulkan, ibadah diterima
Mereka di beri air bacaan yasin... lain kali bawa sendiri tau
Mereka yang datang lewat... diminta membaca yasin dan dipimpin oleh yang lewat juga. Ia sebagai didikan bukan dendaan. 

Penuh laman Malaysiana dgn murid2 yang membaca yasin... Hampir 1000 murid Islam sesi pagi
Ini pun group yang datang lewat masa hari jumaat... Bacalah yasin wahai anak2 muridku

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...