Selasa, 27 Mei 2014

Adab Bercuti

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 28 Rejab 1435H)
Jom Jalan-jalan Cari Pahala !

Orang Islam tak boleh jalan-jalan ke? Tak boleh pergi melancong? Siapa kata? Kalau betul, kenapa tak boleh? Sebab melalaikan? Sempena mula cuti persekolahan hari ini, tentu ramai yang akan bawa anak-anak pergi melancong. Jadikanlah aktiviti melancong atau jalan-jalan kita itu satu ibadat, insya Allah !

PENCERAHAN :
Sebenarnya melancong itu tak salah. Malah digalakkan bagi umat Islam untuk melancong sesuai dengan firman Allah SWT;

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di atas muka bumi, supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata mereka yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (QS Al-Hajj : 46)

Sebagai pengambara Allah, kita hendaklah menjaga adab melancong walau kita di negara Barat sekalipun.Jadi kita mestilah menjaga adab-adab melancong supaya tidak terpesong dan sentiasa dilindungi Allah.. Adab-adab bercuti menurut Islam antaranya ialah;

1. Tentukan destinasi awal-awal.
Elakkan berjalan-jalan tanpa arah tujuan, sekadar merewang-rewang dan elakkan dari ketempat-tempat maksiat kerana ia boleh merosakkan jiwa. Malah boleh menukar hukum melancong yang asalnya harus kepada haram !

2. Pilih lokasi percutian ikut kemampuan.
Jauhkan diri dari pembaziran. pilih tempat percutian mengikut bajet dan ekonomi masing-masing. Jangan mudah terpengaruh dan terikut-ikut gaya kawan-kawan yang lebih mampu dari kita.

3. Solat jangan diabaikan.
Yang membezakan seorang muslim dengan manusia yang lain adalah solat. Solat jamak dan qasar juga boleh dilakukakan mengikut keadaan dan syarat yang telah ditetapkan. Kerana ia adalah satu rukhsoh (keringanan), kemudahan dan hadiah daripada Allah walaupun banyak masjid di kiri dan kanan jalan raya. 

4. Jaga makan minum, pastikan ia bersih dan halal
makan minum perlu diberi keutamaan, kerana ia akan menjadi darah daging kita. seterusnya memberi kesan kepada doa dan ibadah kita sehari-hari. Bila ingin bercuti ke luar negara misalnya, lakukanlah persediaan awal dengan membuat sedikit penyelidikan berkenaan restauran dan tempat makanan halal.

5. Amalkan doa musafir dan ikuti panduan Rasulullah SAW. Baginda jika bermusafir di tempat tinggi dan berbukit akan menyebut "Allahuakbar". Perjalanan menuruni bukit pula baginda akan menyebut ' "Subhanallah".Bila balik dari musafir, baginda tidak akan balik pada waktu malam secara mengejut. baginda akan pergi ke masjid, bersolat dan duduk sebentar menunggu baru pulang ke rumah.

6. Dalam kenderaan, pasanglah CD / VCD atau DVD yang berfaedah. Sebagai manusia kita tidak menjangka takdir yang bakal menimpa. Bahaya datang tanpa dipinta, ajal hadir tanpa mengikut waktu, sebagai umat Islam kita harus bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Manalah tahu juga, ini merupakan percutian terakhir Ust Kay !

7. Menutup aurat.
Apalah guna kita melancong mencari ilmu, tapi tak mengikut syariat Islam.. Bukan susah pun menutup aurat...terutamanya bila jalan-jalan ketempat mandi-manda. Ingat ! Banyak mata yang memperhatikan..

8. Jauhi maksiat.
Tidak salah melancong dan mengenali budaya masyarakat lain. Tetapi andai kata sudah melampaui batas dan melanggar syariat Islam adalah baiknya kalau kita duduk rumah sahaja. Takut hati ini dibolak-balikkan..

9. Mengambil pengajaran dengan melihat kebesaran ciptaan Allah. Andai kata semasa kita sedang melancong, kita terlihat sesuatu yang boleh diambil 'ibrah' (pengajaran).  Ambil, amalkan dan sebarkanlah selagi ianya tidak mengaibkan sesiapa..

10. Bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Ramai antara kita melancong untuk menunjuk.. Menunjuk macam mana?  "Cuti hari itu saya pergi Paris. Best sangat.!"  Memang tak salah cakap sedimikian rupa.. Tapi kalau kita masukkan sekali dengan sifat riak. Maka, rosaklah segala-galanya.

11. Beli cenderahati atau ole-ole.
Bagaikan adat, kalau kita pergi mana-mana akan beli cenderahati untuk kita sendiri dan kawan-kawan atau saudara mara yang tak dapat pergi. Tetapi berjimatlah dalam berbelanja. Jangan membazir. Bezakan antara keperluan atau nafsu..

KESIMPULAN :
Cuti sekolah memang seronok ! Malah mungkin bukan sekadar 'se'ronok, tetapi beronok-ronok..!! Ini adalah antara sebab Ust Kay tolak lamaran Ust Ali Hanafiah (kini dah pencen) untuk menjawat PP Unit Dakwah di BPI KPM satu ketika dahulu. Ust Kay rasa tak best kerja pejabat ni...Lagi best jadi Ustaz di sekolah. Turun ke lapangan berdakwah secara direct kepada mad'u (sasaran dakwah)...dan yang lebih best dapat cuti bersama-sama anak yang cuti sekolah.
Wallahu a'lam - Cikgu kahwin cikgu dapat anak murid, so anak-beranak boleh cuti... Ukay's.

Etika Dalam Bersukan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Isnin, 26 Rejab 1435)
Tahniah MALAYSIA !

Bersukan bukan untuk menang, bukan juga untuk kalah tetapi adalah untuk sihat. Naib Juara Piala Thomas dalam sukan badminton is okay bagi Ust Kay. Untuk sedapkan hati, kita tak kalah sebenarnya kerana kita telah berusaha bersungguh-sungguh. Kita hebat tetapi pasukan Jepun yang lebih hebat daripada kita. Atau kita tewas bermaruah... Ayat skema betul !
PENCERAHAN :
Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek ibadat semata-mata, tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan yang lengkap dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan.
Islam menggalakkan umatnya bersukan berdasarkan nas-nas seperti berikut ;
1) Islam menggalakkan ummatnya untuk sihat dan kuat. Firman Allah SWT :
“Dan hendaklah kamu bersedia untuk berjihad semampu mungkin dengan menghasilkan kekuatan..."
(QS. Al-Anfal : 60)
2) Al-Quran memuji tubuh badan yang gagah dan memanggapnya sebagai suatu kelebihan. Firman Allah SWT. Orang yang kuat tubuh badannya lebih disukai oleh Allah. Nabi SAW bersabda ;
المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف ، وفي كل خير
Maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari orang beriman yang lemah. Kedua-duanya ada kebaikan.” (HR : Muslim)
3) Nabi saw menggalakkan sahabat-sahabatnya bermain dan menonton permainan mereka bersama Aisyah ra. Ini jelas dari hadis berikut yang diriwayat oleh Aisyah ra:
“Sesungguhnya aku telah melihat Nabi saw menutupiku dengan kain selendangnya dan aku sedang melihat orang-orang Habsyah yang bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu.” (HR : Bukhari dan Muslim)
Antara sukan-sukan yang sunnah untuk diceburi, ialah ;
1. Memanah
Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (HR : At-Tabarani)
2. Berkuda
"Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.” (HR : Ahmad)
3. Berenang
Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(HR : Bukhari dan Muslim)
4. Gusti
Ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy bernama Rukainah Bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizat baginda.
5. Berlumba Lari
Nabi SAW telah bersukan dengan isterinya Saidatina Aisyah ra. Aisyah r.a telah meriwayatkan hadis berikut ;
أنها كانت مع النبي صلى الله عليه وسلم في سفر قالت : فسابقته فسبقته على رجلي ، فلما حملت اللحم سابقته فسبقني. فقال : هذه بتلك السبقة.
"Suatu ketika Aisyah bersama Nabi SAW dalam musafir. Aisyah berkata “Aku berlumba lari dengannya dan aku dapat mengalahkannya. Setelah mana aku berisi, aku berlumba lari sekali lagi dan baginda dapat mengalahkanku.” Nabi SAW bersabda “Kemenangan kali ini membalas kekalahan yang lepas.” (HR : Abu Daud)
Satu perkara yang perlu diambil berat ialah sikap dan mentaliti penonton tatkala memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Jangan kerana terlalu taksub dengan pasukan kesayangan sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat, biadap dan sehingga bergaduh dengan pemain lawan. Perkara yang paling sukar bagi mereka terbabit dalam sukan adalah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Islam mengajar kita supaya tenang, berjiwa besar dan redha.
Paling menyedihkan, ada segelintir peminat sukan yang bergaduh sesama sendiri kerana bersikap emosional. Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia untuk membina hubungan ukhuwah. Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan. Tak perlulah sehingga bersumpah-sumpah dengan Al-Quran. Al-Quran untuk dibaca dan diamal bukan untuk dijadikan sumpah sukan !
ETIKA BERSUKAN DALAM ISLAM :
1. Permainan tersebut hendaklah yang dibenarkan syara’. Permainan yang haram adalah seperti melaga-lagakan binatang.
2. Pakaian yang digunakan hendaklah menutup aurat. Bagi wanita hendaklah pakaian tersebut tidak ketat sehingga menampakkan tubuh badan dan tidak jarang.
3. Tidak ada unsur perjudian dalam permainan. Seperti duit penyertaan peserta digunakan untuk memberi hadiah kepada pemenangnya. Hukumnya haram.
4. Tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti kewajipan solat dan puasa.
5. Tidak ada perkara yang membahayakan diri sendiri dan manusia lain. Nabi saw telah bersabda ;
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak boleh melakukan perkara yang memudaratkan diri kamu dan orang lain.” (HR : Ibnu Majah dan Ahmad)
6. Tidak ada percampuran lelaki perempuan yang dilarang (Ihtilat). Percampuran yang dilarang adalah yang ada sentuhan lelaki dan perempuan.
7. Sukan wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang hendaklah tidak ditonton oleh lelaki samada secara langsung atau pun tidak. Dr Yusuf Qardawi menyatakan ;
“Permainan yang dilakukan wanita seumpama berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet, lumba lari, lompat jauh dan sebagainya, harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Tidak ada lelaki yang bukan mahram melihat sukan wanita seumpama ini. Oleh kerana itu sukan-sukan wanita seumpama berenang, gimnastik dan seumpama dengannya haram disiarkan dan ditonton oleh lelaki yang bukan mahram.”
8. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersukan yang boleh mempertaruhkan nyawanya atau dengan cara yang menimbulkan kecederaan diri sendiri dan orang lain.
9. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan percampuran kedua-dua jantina atau yang mendedahkan aurat kerana akan membuka jalan hawa nafsu syahwat dan keruntuhan akhlak.
10. Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat kelakian mereka dan begitu juga sebaliknya. Di dalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita bersukan dengan sukan yang khas untuk lelaki.
KESIMPULAN :
Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki untuk menjaga Maqasyid Syari'ah. Terutamanya dalam pertandingan sukan permainan kegemaran ramai, seperti Bola Sepak, Hoki dan Badminton. Kalau boleh pakailah seluar panjang sebab kalau tetap pakai seluar pendek, menang belum tentu tapi confirm dah kalah dalam menjaga aurat !
Wallahu a'lam - Nak main badminton lah esok ! Ukay's

Khamis, 15 Mei 2014

Selamat Hari-hari Cikgu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 16 Rejab 1435H)
Selamat Hari-hari Cikgu !

Suatu pagi di dalam sebuah kelas 4 Lurus, Sekolah Kebangsaan Ust Kay, jauh di kawasan pedalaman.

Cikgu: Sebenarnya setiap guru tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada anak muridnya kerana mereka mengajar dengan ikhlas. Tapi cikgu tak kisah apa-apa jenis hadiah yang kamu nak berikan pada cikgu (mengharap juga lah tu... nampak permainan cikgu ni...)
Murid: Tapi cikgu, hadiah macam mana tu?
Cikgu : Cikgu cadangkan begini, jika ayah kamu penanam jagung… jagunglah bagi kat cikgu tu ! Jika kerja sebagai nelayan, ikan pun boleh...
Murid : Ohh…. begitu ye cikgu. Baik cikgu !
Keesokan harinya, penuh meja cikgu itu dengan pelbagai hadiah….. Macam-macam ada. Tersenyum lebar cikgu tu.
Cikgu : Hah !, kenapa kamu berpeluh ni Mamat? Datang lewat pulak tu ! (Sergah cikgu tersebut kepada seorang muridnya yang sedang termengah-mengah)
Mamat: Usung hadiah cikgulah…. tu ada kat luar kelas.
Cikgu : Ya.. Allah ! Batu nesan Mat ?????
Mamat: Ha….aaa ! (sambil kembangkan hidung bangga)
Cikgu : Ayah Mamat kerja apa?
Mamat : PEMBUAT BATU NESAAAAN... cikgu !
Cikgu: Errr... patutlah ! Emmm...Hadiah ni elok Mamat hadiahkan kepada Guru Besar ye....hihihihi !

PENCERAHAN :
Guru, Cikgu, Sifu, Teacher, Ustaz, Ustazah, Tok Guru adalah pekerjaan yang sama. Pengertian GURU bagi Orang Jawa ialah "Omonganne digugu, kelakoanne kenek ditiru." Hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gu' dan `Ru'. Perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh didengar ucapannya, nasihatnya dan boleh ditiru perbuatannya, tingkah lakunya dan penampilannya.

Guru juga sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid dan mudarris yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas. Bukan seperti senario di atas. Antara peranan guru ialah sebagai ;

1) Mu’alim bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal dan nilai-nilai murni.
2) Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental murid.
3) Mudarris adalah pengajar yang berperanan memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan fahami.
4) Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu memupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib menyiapkan mu’addab, kerana guru bukan sahaja perlu mengajar adab tetapi mesti beradab.
5) Mursyid bermaksud seseorang yang memberi tunjuk ajar dalam bidang kerohanian. Bertanggungjawab membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah SWT dengan ikhlas. Firman Allah ;

وَيَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهَِ
"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata..." (QS Hud : 29)

KESIMPULAN :
Seorang guru kena sampaikan ilmunya dengan bersungguh-sungguh. Bukan seperti melepaskan “batok” di tangga (tempurung diguna sebagai penceduk air dari tempayan tepi tangga rumah dahulu kala. Bukan batuk ditangga - lihat Kamus Dewan terbitan DBP)

Ada pula sebilangan yang sangat kecil, guru menjadi pemusnah. Harapkan "Pegar", Pegar makan padi (menurut Kamus Dewan, Pegar ialah sejenis burung yang dieja dalam tulisan jawi menggunakan huruf pa, ga dan ro – bunyi  “Peger” dalam loghat jawa) Maksud sebenarnya burung Pegar ini diharapkan akan memakan ulat serta kumbang yang memusnahkan pokok padi. Bukan pagar seperti yang difahami selama ini. Wallahu a'lam - Jangan jadi Mahaguru Teropong sudah ! Ukay's

Selasa, 6 Mei 2014

Ibnu Sabil ( Musafir )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 3 Rejab 1435H)
Ibnu Sabil

Rangkai kata Ibnu sabil terdiri dari dua lafaz, iaitu lafaz ibnu dan lafaz sabil. Lafaz ibnu mempunyai makna anak, dan lafaz sabil mempunyai makna jalan. Secara etimologi, Ibnu sabil mempunyai makna orang berjalan atau orang yang berpergian atau juga musafir.
Adapun secara terminologi Ibnu sabil mempunyai makna orang yang dalam perjalanan, dinamakan juga orang yang sedang safar.
PENCERAHAN :
Dalam kitab Fathul Muin dinyatakan bahawa; Ibnu sabil adalah musafir yang melewati negara lain atau orang yang bermaksud mengadakan perjalanan yang diperbolehkan seperti untuk menuntut ilmu. Dalam kitab Fathu al-Wahab pula, disebutkan; Ibnu sabil adalah orang yang bermaksud mengadakan perjalanan atau musafir yang melewati negara pengeluar zakat dan dia sangat memerlukannya serta tidak untuk kemaksiatan.
Tugasan sebagai seorang da'ie menuntut untuk seseorang itu bermusafir. Demi untuk melihat perjuangan Islam itu terus subur dan berjaya. Sabda Nabi Muhammad SAW berkenaan kesulitan yang akan dihadapi bagi mereka yang musafir ;
"Bermusafir itu merupakan sebahagian daripada azab (kesulitan)." (HR : Al-Bukhari dan Muslim)
Ust Kay ingin mengambil kesempatan disini untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang perbahasan ringkas tentang musafir. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi Ust Kay akan bermusafir terbang ke negeri Sabah dibawah bayu. Doakan supaya selamat dan juga thabat dalam memperjuangkan dakwah Islamiah ini dan akan kembali untuk berkongsi permata dan mutiara yang diperolehi dari di sini nanti. Insya Allah !
Sayangnya Allah kepada kita... diberi hadiah yang berupa beberapa keringanan (rukhsah) yang telah disyariatkan oleh Islam bagi mereka yang bermusafir. Begitu indahnya Islam kerana memahami keadaan dan situasi penganutnya, Subhanallah ! Antaranya ialah;
1. Solat Qasar iaitu memendekkan solat fardu 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja.
2. Solat Jamak iaitu menggabungkan antara 2 solat fardu dan mendirikannya dalam satu waktu sahaja. Sebagai contoh solat fardu Zohor digabungkan dengan solat fardu Asar dan dilaksanakan dalam waktu Zohor sahaja.
3. Harus membuka puasa di bulan Ramadan. (Ulama' mengingatkan bahawa syarat untuk berbuka puasa bagi mereka yang bermusafir ialah musafir itu mestilah keluar sebelum terbit fajar. Sekiranya selepas terbit fajar, maka hukumnya tetap wajib berpuasa)
4. Harus menyapu di atas khuf (stokin kulit) ketika berwuduk selama 3 hari dan 3 malam berturut-turut.
5. Harus solat sunat di atas kenderaan. Kiblat bagi jenis solat ini ialah arah yang dituju. (Ada setengah qaul pula menyatakan untuk takbiratul ihram yang pertama)
6. Sekiranya bertayammum (kerana tidak ada air) di tengah-tengah perjalanan untuk solat, maka solat tersebut tidak wajib diulang (qada') kembali.
7. Harus meninggalkan solat Jumaat. (Ada qaul sebut bahawa, untuk meninggalkan solat Jumaat seseorang itu mestilah keluar bermusafir sebelum terbit fajar. Sekiranya keluar selepas terbit fajar, maka wajib solat Jumaat)
8. Bagi mereka yang berpoligami, tidak perlu qada' giliran tidur malam bersama-sama dengan isteri-isteri yang ditinggalkan sepanjang tempoh ia bermusafir.
PENUTUP :
Doa Musafir
الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَر وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ
Wallahu a'lam - Doakan sentiasa dalam radar. Ust Kay

Muhkamat & Mutasyabihat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 7 Rejab 1435H)
Muhkamat & Mutasyabihat

Ramai sahabat yang mohon pencerahan tentang tajuk diatas. Untuk tidak menghampakan, di sini Ust Kay nyatakan secara umum dan mudah dari sudut perbezaannya sahaja dan tidak menghuraikannya secara terperinci dalam medium yang cukup terbatas ini. Untuk lebih jelas sahabat-sahabat kena bertalaqqi musyafahah di surau dan masjid berdekatan anda !
PENCERAHAN :
Al Muhkam: المتضح المعنى ; yang jelas maknanya.
Al Mutasyabih: ما ليس بمتضح المعنى; yang dikatakan tidak jelas maknanya.(penyerupaan, menyamai)
Jadi ayat-ayat Muhkamat ialah ayat yang dari segi bahasa memiliki satu makna saja dan tidak memungkinkan untuk ditakwil ke makna lain. Atau ayat yang diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Seperti firman Allah :
﴿ لَيْسَ كَمِثْلِهِ  شَىءٌ ﴾    
“Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhluk-Nya (baik dari satu segi mahupun semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya)”.
(QS. Asy-Syura: 11)                
Ayat-ayat Mutasyabihat pula ialah ayat yang dikatakan sebahagian ulama' belum jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh makna yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat. Seperti firman Allah :
﴿ الرّحْمٰنُ  عَلَى العَرْشِ اسْتَوَى ﴾ 
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang 'bersemayam' di atas Arasy." (QS. Taha : 5)
Penafsiran terhadap ayat-ayat mutasyabihat harus dikembalikan kepada ayat-ayat muhkamat. Ini jika memang berkait dengan ayat-ayat mutasyabihat yang mungkin diketahui oleh para ulama tafsir yang mahir.
Perbezaan Ayat Muhkamat dan Ayat Mutasyabihat ialah:
1.    Muhkam adalah sesuatu yang telah jelas maknanya, sedangkan mutasyabihat tidak jelas maknanya
2.    Muhkam adalah ayat yang maksudnya dapat diketahui secara langsung tanpa memerlukan keterangan lain. Sedangkan mutasyabih perlu penjelasan lagi.
3.    Muhkam adalah ayat yang dalalahnya kuat baik maksud mahupun lafaznya. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang lemah dalalahnya, bersifat mujmal, sehingga memerlukan ta’wil.
4.    Muhkam adalah ayat yang sama susunan dan urutannya yang membawa kepada makna yang tepat tanpa pertentangan. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang makna biasanya tidak terjangkau oleh akal dari segi bahasa kecuali bila ada bersamanya keterangan.
5.    Muhkam adalah ayat yang nasah dan padanya mengandung pernyataan halal, haram, hudud, faraid dan semua yang wajib di amalkan. Adapun mutasyabih iaitu ayat yang padanya terdapat mansuh, dan qasam serta yang wajib diimani tetapi perlu direnungi untuk diamalkan lantaran belum jelas makna yang dimaksudkannya.
Para ulama juga berbeza pendapat tentang kemampuan manusia untuk memahami ayat-ayat mutasyabihat ini. Sebahagian mengatakan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mengerti tentang maknanya, manusia hanya wajib mengimaninya saja.
Sebahagian ulama pula menolak untuk membiarkan ayat Al-Quran itu tidak mampu difahami kerana Al-Quran dibuat dengan bahasa Arab yang jelas. Mustahil orang Arab tidak mampu memahaminya. Aneh rasanya bila Allah memberikan Al-Quran kepada manusia sebagai petunjuk namun ada ayat-ayatnya yang tidak mampu difahami oleh manusia itu sendiri.
KESIMPULAN
Sebenarnya, wajib kita beriman bahawa seluruh ayat Al-Quran sama ada muhkam atau mutasyabih adalah ayat-ayat yg jelas lagi terang. Menjadi keliru sekiranya kita mengatakan bahawa ayat-ayat mutasyabihat itu ayat yg kurang jelas atau samar-samar sebab Allah menyatakan Al-Quran itu adalah petunjuk "Hudan" daripada Allah SWT.
Mana mungkin petunjuk atau Hudan / Hidayah itu boleh kabur atau samar-samar.
Wallahu a'lam - Mengkaji dan mengaji Al-Quran. CCUK

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...