Ahad, 29 Mac 2015

Adab Makan Yang Jarang Diamalkan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Bil.428) - HIMPUNAN TAZKIRAH CANTEEK (HTC) Ahad, 8 Jamadil Akhir 1436H. ADAB MAKAN YANG JARANG DIAMALKAN.

Beli baju di Kedai Taipan,
Baju disangkut di tepi tingkap,
Makan dengan adab dan sopan,
Baru berkat dan juga sedap.

Ada beberapa lagi adab makan selain basuh tangan sebelum dan selepas makan, membaca Basmallah, membaca doa sebelum dan selepas makan,  makan dengan tangan kanan dan makan dengan duduk. Ada beberapa adab lagi yang sebahagiannya tidak diketahui oleh kita kerana jarang atau tidak pernah amalkannya sedangkan ianya merupakan sunnah Nabi SAW.
CERAH-CERAHKAN :
1. Makan Secara Berjamaah.
Sunat makan secara berjamaah kerana banyak keberkatan yang terkandung didalamnya. 
Berkenaan dengan seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW dan ia berkata: “Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang.” Maka Rasulullah berkata: “Pasti masing-masing kamu makan sendiri-sendiri.” Orang itu menjawab: “Benar, Ya Rasulullah!” Rasulullah SAW berkata: “Berjamaahlah dalam menyantap makananmu.”

2. Gunakan Shahfah/Qash’ah
Makan berjamaah di atas hamparan dengan dengan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) merupakan salah satu sunnah Nabi yang harus diikuti. Ibnu Hajar berkata: “Sukurrajah itu tidak digunakan kerana mereka (Rasulullah dan para sahabat) tidak pernah menggunakannya, kebiasaannya mereka makan bersama-sama (dengan Shahfah) atau makan dengan menggunakan sukurrajah itu menjadikan mereka tidak merasa kenyang.” (Al-Fath 9/532).

3. Galakan Guna Tiga Jari.
Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari. (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)” (HR : Muslim)

4. Menjamah Secubit Garam.
Nabi Muhammad SAW juga menyuruh menjamah secubit garam sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit dan ambil secolek lagi dengan jari manis tangan kanan setelah makan.

5. Mula Makan Dari Hidangan Tepi.
Dari Ibn Abbas r.a., Nabi SAW bersabda: “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah” (HR : Abu Dawud dan Tirmidzi)

6. Makan Yang Berhampiran Dahulu.
Makanlah makanan yang ada dihadapan anda dan jangan menjangkau makanan yang ada pada hidangan yang lain. Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah SAW, dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah SAW berkata: “Wahai budak, ucapkan ‘Bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (HR : Bukhari dan Muslim)

7. Makanlah Dengan Rendah Diri.
Makanlah dengan penuh perasaan tawadduk dan jangan makan dengan gaya yang bangga, sombong dan angkuh.

8. Makanlah Dengan Berpada-Pada.
Jika makanan yanga ada itu sedikit sedang tetamunya terlalu ramai maka janganlah makan sampai terlalu kenyang. Nabi Muhamad SAW melarang makan dengan banyak dan melampau. Diriwayatkan bahwa para sahabat berkata dari Rasulullah SAW:

نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع

“Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.“

9. Galakan Bercakap & Tidak Becakap.
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang soleh dalam makanan. Ketika makan janganlah terlalu banyak bercakap atau bercakap apabila makanan penuh di dalam mulut. Janganlah juga bercakap mengenai hal-hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya.

10. Larangan Mencela Makanan.
Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan” (HR : Bukhari dan Muslim)

11. Tidak Bersandar Ketika Makan.
Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah SAW bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar” (HR : Bukhari)

12. Kutip Makanan Yang Terjatuh.
Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah SAW., “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan” (HR : Muslim)

13. Jilat Jari Setelah Selesai.
Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)” (HR : Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Nawawi :"Sesungguhnya makanan yang dihidangkan untuk manusia itu mengandung berkat, sedang dia tidak mengetahui apakah berkat itu pada makanan yang ia makan atau pada sisa makanan yang melekat di tangannya atau pada sisa makanan di dalam shahfah atau pada suapan yang jatuh. Demikian hendaklah ia menjaga semua itu agar selalu mendapat berkat.” (Fathul Bari 9/578).

14. Menghormati Tetamu Dan Bertolak-Ansur.
Bercakap dengan berjamaah yang makan bersama dengan lemah lembut dan hormat. Jika terpaksa meninggalkan majlis makan terlebih awal maka segeralah minta keuzuran kerana hal tersebut. Memaafkan tetamu yang meminta kemaafan daripada tuan rumah.

SIMPUL-SIMPUKAN :
Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kia adab-adab makan yang  boleh diikuti dan diteladani kerana kita diwajibkan menjaga kesihatan tubuh badan agar sentiasa sihat sebab ia adalah amanah daripada Allah SWT.
Wallahu a'lam - Jalan-jalan Cari Makan, jangan Jalan-jalan Cari Pasal ! Ukay's.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...