Khamis, 11 Disember 2014

Daulat Tuanku .... Allahu Akbar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 18 Safar 1436H. DAULAT TUANKU... ALLAHU AKBAR !

Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq telah bersabda ; "Kota Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (HR : Imam Ahmad)

PENCERAHAN :
Sejak dari itu, umat Islam telah berlumba-lumba beberapa kali untuk membebaskan Konstantinopel bagi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah di Turki.

Seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayub Al-Ansari r.a telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiat beliau sendiri. Ketika penghujung hayatnya, apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab; “Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel."

Hadis Nabi SAW ini hanya dapat direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh seorang Sultan yang terbaik iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang bala tentera terbaik baginda. Janji Allah pasti benar bagi sesiapa yang mengimani-Nya.

'Ibrah terpenting yang boleh diambil daripada kisah 'SULTAN' ini adalah, kita boleh melihat sendiri, baginda telah membuktikan kepada seluruh dunia bahawa baginda telah bersaksi dan sanggup terkorban semata-mata hanya untuk Allah SWT. Sejak dari kecil, Sultan Muhammad Al-Fateh telah dididik oleh bapanya Sultan Murad, Khalifah Empayar Turki Uthmaniyah ke-6 dengan didikan Islam yang sempurna. Subhanallah...! Sultan yang mendapat Tarbiyah Islamiyah... Sultan yang soleh pasti doa baginda tiada hijab di sisi Allah.

Sultan ini juga sentiasa mendampingi dan didampingi oleh ulama’ yang tersohor pada zaman tersebut. Ternyata apabila Sultan yang cenderung kepada kehidupan beragama, maka bertambah kasih dan dekat pertolongan Allah SWT kepada baginda. Baginda telah menghafaz al-Quran sejak kecil dan diajarkan dengan ilmu agama tanpa sedikit pun meninggalkan ilmu-ilmu Kepimpinan, Sains dan Teknologi serta ilmu Peperangan pada zaman itu disamping disemai dengan cita-cita dan semangat jihad yang tinggi untuk Islam.

(DAPATKAN BUKU CUIT-CUIT USTAZ KAY'S YANG SEDANG HOT DI PASARAN SELURUH NEGARA SEBELUM KEHABISAN & KEMPUNAN)

Bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh mendidik dan mentarbiyah para tentera baginda agar mentaati Allah dalam apa jua keadaan terutamanya dalam bab melaksanakan Syariat Allah. Inilah peranan sebenar Sultan sebagai Ketua Agama Islam di sesebuah negeri. Sultan Muhammad Al-Fateh telah membuktikan bahawa baginda adalah individu yang menepati hadis tersebut.

Islam yang sampai kepada Sultan Muhammad Al-Fateh adalah Islam yang sama sampai kepada kita dan sepatutnya kita boleh menjadi sehebat baginda atau sekurang-kurangnya sehebat tentera-tentera baginda. Semoga kita tergolong dalam golongan yang memahami, menghayati dan mengamalkan Islam seperti Sultan Muhammad Al-Fateh ini. Aamiin Ya Rabb !

KESIMPULAN :
Hari ini patik, Ust. Kay ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Keputeraan Ke 69, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan. Wallahu a'lam - Semoga Tuanku sentiasa di bawah perlindungan dan kerahmatan Allah SWT, mendapat taufiq dan hidayah serta inayah dengan diberikan kekuatan untuk memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan seumpama Sultan Muhammad Al-Fateh. Insya Allah, Daulat Tuanku, Allahu Akbar ! Ukay's (UST. HJ KAMIL BIN SIDEK)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...