Jumaat, 19 September 2014

Tazkirah : Jom Baca

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Khamis, 22 Zulkaedah 1435H.
 JOM BACA 
Ada orang boleh baca satu hari sahaja khatam buku novel cinta atau cerita hantu yang lebih tebal dari Al-Quran. Ada orang boleh duduk berjam-jam membaca majalah-majalah hiburan atau akbar kesukaan. Ada orang boleh membaca status dalam Facebook, WhatsApp atau Telegram yang panjangnya berjela-jela. Namun bila hendak baca tazkirah, 'sejujurnya' terus skip atau scroll begitu sahaja. Sedangkan dengan membaca, insya Allah seseorang akan memperolehi hidayah, ilmu, iman dan takwa.
Melalui membaca juga seseorang akan terbangun akal, emosi, rohani dan jasmaninya.
PENCERAHAN :
Firman Allah SWT ;
ُ
اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ. الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَم
"Bacalah  dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan." (QS al-Alaq : 3-4)
Wahyu pertama yang turun kepada Rasulullah SAW melalui Malaikat Jibril dimulakan dengan kalimah “Iqra”, sedangkan baginda adalah seorang yang ummi (tidak dapat membaca dan menulis). Ini bermaksud, peranan membaca sebagai perantara untuk mencapai berbagai pengetahuan semakin terasa penting berdasarkan peristiwa ini.
Walaupun kita tahu bahawa pengetahuan adalah tujuan utama membaca tetapi Allah tidak memulakan Al Quran dengan kalimah "ta’allam" (belajarlah). Memang banyak cara untuk belajar seperti mendengar, melihat dan menimba pengalaman. Tapi cara terbaik untuk belajar adalah dengan membaca. Seakan Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa sekalipun terdapat begitu banyak cara belajar tapi kita tetap harus membaca.
Banyak kelebihan membaca ini. Antara kelebihan membaca ialah seperti berikut;
1. Membaca menghilangkan perasaan takut, tidak tenang dan kegundahan.
2. Membaca akan menghalang seseorang daripada kebodohan dan kejumudan
3. Kebiasaan membaca membuat orang terlalu sibuk untuk berhubungan dengan orang yang malas dan tidak mahu bekerja.
4. Sering membaca, seseorang mampu meningkatkan kepetahan dan kefasihan dalam bertutur kata.
5. Membaca membantu mengembang dan menjernihkan cara berfikir.
6. Membaca dapat menambahkan pengetahuan seseorang dan meningkatkan pemahamannya dalam kehidupan.
7. Dapat mengambil manfaat dan berkongsi pengalaman orang lain.
8. Dapat mengembangkan kemampuannya untuk mempelajari pelbagai disiplin ilmu dan aplikasi di dalam hidup.
9. Keyakinan seseorang akan bertambah dengan membaca bahan yang bermanfaat.
10. Membaca membantu seseorang untuk menyelamatkan waktunya agar tidak sia-sia.
Sesiapa pun yang bergelut dengan ilmu pasti tidak akan merasa kesepian. Sesiapa pun yang menghiburkan dirinya dengan membaca pasti sentiasa dalam kebahagiaan. Hanya dengan membaca, anda akan terselamat daripada kekecewaan yang dilakukan oleh rakan-rakan yang malas.
Awal membaca memanglah sukar, namun bila sudah mula sukar untuk berhenti kerana anda telah menemui keseronokan. Dengan membaca, seolah-olah anda bersama para nabi, hukama’ dan ulama'. Sebaliknya dengan malas membaca anda akan bersama dengan orang bodoh dan buruk akhlak.”
KESIMPULAN :
Awal permulaan kegagalan adalah kerana bencikan membaca. Kita menyakini yang cinta itu buta bila kita menyaksikan para pencinta dunia itu menjauhi ilmu pengetahuan. Ada orang berkata: ”Sejujurnya saya memang tidak suka membaca!” Katakan kepada mereka: ”Kasihan! Anda hanya 'menyusahkan' diri sendiri!." Buktikan kepada dunia, seseorang yang berjaya tanpa perlu membaca apa-apa... Wallahu a'lam - Tahniah ! Tanpa anda sedari anda baru selesai membaca CCUK yang 'panjang' ini. Ukay's

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...