Jumaat, 14 Mac 2014

Tawakkal

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
Tawakkal
‘Tawakal’ (توكُل‎) berasal dari perkataan Arab ‘Wakalah’ yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain.
Menurut Abu Zakaria Ansari, ‘Tawakal’ ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Sifat sedemikian berlaku selepas timbulnya rasa percaya kepada orang yang diserahkan urusan tadi. Maksudnya, dia mesti mempunyai sifat amanah (dipercayai) terhadap apa yang diamanahkan dan dia boleh memberikan rasa tenang dan selamat terhadap orang yang memberikan amanah tersebut.
Imam al-Ghazali pula merumuskan definisi ‘Tawakal’ sebagai, “Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah سبحانه و تعالى  tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepadaNya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram.”
PENCERAHAN :
Dalam meletakkan sandaran dan perwakilan sebagai kepercayaan sepenuh hati bagi sesuatu urusan, pastinya diperlukan wakil yang diyakini dan diketahui kredibilitinya dan melengkapi empat sifat, iaitu :
1) Muntahal-Hidayah (kepercayaannya dan diyakini kebenaran),
2) Muntahal-Quwwah (paling kuat atau mempunyai kemampuan),
3) Muntahal-Fashahah (paling lancar dan cukup berpengetahuan),
4) Muntahas-Syafaqah (diyakini paling perihatin dan kasih sayang).
Tiada makhluk yang diciptakan-Nya berupaya memenuhi semua 4 sifat di atas untuk disandarkan kepercayaan. Semua sifat dan kateria di atas hanyalah ada pada Allah SWT sahaja.
Allah berfirman dalam ayat yang dikenali sebagai 'Ayat 1000 Dinar';
"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (QS: Ath- Thalaaq ayat 2 - 3)
Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, karangan Almarhum Syeikh Yathi Fakan, ada menyebutkan dalam bab ‘Saya Mestilah Muslim dari Sudut Akidah’:
Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.
Sifat ini menepati seruan Allah S.W.T:
"...Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya..." (QS: Ath-Talaq ayat 3)
‘Kenallah Allah Pada Masa Lapang’ dalam buku Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) pula menyatakan Rasulullah meneruskan pengajaran kepada Ibnu Abbas ra, iaitu:
"Peliharalah Allah nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Ia kenal engkau pada masa susah di kala engkau sedang mengalami perkara yang sukar."
KESIMPULAN :
Hati ini mengajak diri untuk bertawakal, berserah diri kepada Allah. Semoga segala usaha dan doa yang telah dipanjatkan kepadaNya dimakbulkan dan dikurniakan keputusan yang diharapkan.
Cuma harus diingatkan usaha yang dilakukan sebelum bertawakkal itu adalah usaha yang bersesuaian, munasabah dan tidak bertentangan dengan syarak. Contoh, mencari barang yang hilang hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh bukan dengan duduk atas tikar, buat aksi dayung guna tongkat, angkat raga dan dua biji buah kelapa ! Sebab nanti yang yang dicari belum tentu dapat yang confirmed hilang ialah akidah dan maruah...
Wallahu a'lam - Doakan isytiqamah Ust Kay.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...