Jumaat, 28 Februari 2014

Fitnah + Hebah = Muflis

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH PAGI 
Fitnah + Hebah = Muflis

Semakin dekat PRK nanti, akan tersebarlah fitnah-fitnah yang begitu dasyat di kalangan kita. Ada yang menghebahkan tulisan-tulisan, membuat tuduhan kepada orang secara sembarangan. Ada yang menyebarkan melalui alat-alat media baharu seperti WhatsApp, Telegram, Wechat, Twitter,  Youtube dan sebagainya.
Tuduhan ini dilemparkan juga ke atas para pendakwah, orang yang boleh dianggap sebagai alim ulama’, orang yang wara’, dituduh bermacam-macam, kemudian tuduhan ini disebar melalui video, melalui TV, radio. Gambar-gambar yang telah diedit, dimasukkan ke dalam internet dan disebarkan.
PENCERAHAN :
Kita kena ingat, bahawa jiwa seorang Muslim, seorang yang beriman kepada Allah swt itu, bukanlah jiwa yang dibiarkan begitu sahaja. Jiwa orang Muslim itu mempunyai harga yang begitu mahal. Allah swt telah menyebut dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah An-Nur ayat 15:
إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُ ۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا
لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ
ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬
"Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu daripada mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah sesuatu yang besar."
Dalam ilmu tazkiyatun nafs, para ulama' salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita pernah buat kepada orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila 'kesilapan' orang lain itu akan diingati, maka sentiasa ‘bangunlah’ fitnah itu.
KESIMPULAN :
Berdasarkan pemerhatian, gejala ini berlaku antara lain kerana:
a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah keburukan pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kebaikan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas di akhirat sana.
Aduhai, alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk fitnah dan hebah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak. Muflis lah kita...
Nabi saw dalam hadis yang panjang, tentang yang menyebut tentang peristiwa muflis,
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أتدرون من المفلس ؟ قالوا:المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع , قال صلى الله عليه وسلم : إن المفلس من أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة , ويأتي وقد شتم هذا ,وقذف هذا , وأكل مال هذا , وسفك دم هذا , وضرب هذا , فيعطي هذا من حسناته وهذا من حسناته فإن فنيت حسناته من قبل أن يقضي ما عليه أخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في النار
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab: “Orang yang muflis di antara kami  ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai wang dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda.” Nabi s.a.w seterusnya bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa (pahala) solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan juga memukul orang; maka akan diambil daripada pahala amalannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan (dosa-dosa) orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka.”
Wallahu a'lam - Doakan Istiqamah Ust Kay !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...