Jumaat, 28 Februari 2014

Fitnah + Hebah = Muflis

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH PAGI 
Fitnah + Hebah = Muflis

Semakin dekat PRK nanti, akan tersebarlah fitnah-fitnah yang begitu dasyat di kalangan kita. Ada yang menghebahkan tulisan-tulisan, membuat tuduhan kepada orang secara sembarangan. Ada yang menyebarkan melalui alat-alat media baharu seperti WhatsApp, Telegram, Wechat, Twitter,  Youtube dan sebagainya.
Tuduhan ini dilemparkan juga ke atas para pendakwah, orang yang boleh dianggap sebagai alim ulama’, orang yang wara’, dituduh bermacam-macam, kemudian tuduhan ini disebar melalui video, melalui TV, radio. Gambar-gambar yang telah diedit, dimasukkan ke dalam internet dan disebarkan.
PENCERAHAN :
Kita kena ingat, bahawa jiwa seorang Muslim, seorang yang beriman kepada Allah swt itu, bukanlah jiwa yang dibiarkan begitu sahaja. Jiwa orang Muslim itu mempunyai harga yang begitu mahal. Allah swt telah menyebut dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah An-Nur ayat 15:
إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُ ۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا
لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا وَهُوَ عِندَ
ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬
"Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu daripada mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah sesuatu yang besar."
Dalam ilmu tazkiyatun nafs, para ulama' salaf sering menyatakan bahawa terdapat dua perkara yang perlu kita lupakan untuk menyucikan hati kita, iaitu kebaikan yang kita pernah buat kepada orang lain dan juga kesilapan orang lain terhadap kita. Kalau kerap diulang dan ditulis, maka sampai bila-bila 'kesilapan' orang lain itu akan diingati, maka sentiasa ‘bangunlah’ fitnah itu.
KESIMPULAN :
Berdasarkan pemerhatian, gejala ini berlaku antara lain kerana:
a. Sikap manusia yang gelojoh dalam menghebahkan maklumat.
b. Sikap manusia yang ingin menunjukkan dirinya hebat mempunya maklumat terpantas, cepat tahu dan cepat menganalisa.
c. Sifat manusia yang tamak ingin mendapatkan pengaruh dan keuntungan.
d. Sifat manusia yang sentiasa berbalah, lalu dihebahkanlah keburukan pihak lain untuk melemahkannya, dan dalam masa yang sama ingin menunjukkan kebaikan dirinya.
e. Sifat manusia yang tidak rasa bertuhan, tidak merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Allah, serta tidak takut bahawa apa sahaja yang tertulis dan diucapkan, akan dibalas di akhirat sana.
Aduhai, alangkah mudahnya ke neraka dengan menggunakan media baru untuk fitnah dan hebah. Sekali terucap dan tertulis, ribuan membacanya, maka berantai-rantailah dosanya. Tunggu sahajalah berapa ramai yang akan menuntut saman malunya di mahkamah akhirat kelak. Muflis lah kita...
Nabi saw dalam hadis yang panjang, tentang yang menyebut tentang peristiwa muflis,
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أتدرون من المفلس ؟ قالوا:المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع , قال صلى الله عليه وسلم : إن المفلس من أمتي من يأتي يوم القيامة بصلاة وصيام وزكاة , ويأتي وقد شتم هذا ,وقذف هذا , وأكل مال هذا , وسفك دم هذا , وضرب هذا , فيعطي هذا من حسناته وهذا من حسناته فإن فنيت حسناته من قبل أن يقضي ما عليه أخذ من خطاياهم فطرحت عليه ثم طرح في النار
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab: “Orang yang muflis di antara kami  ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai wang dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda.” Nabi s.a.w seterusnya bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa (pahala) solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan juga memukul orang; maka akan diambil daripada pahala amalannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan (dosa-dosa) orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka.”
Wallahu a'lam - Doakan Istiqamah Ust Kay !

Isnin, 24 Februari 2014

Maksud Silaturrahim Yang Sebenar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH PAGI INI...
Maksud Silaturrahim Yang Sebenar !

Bersilaturrahim bukan sekadar berkenal-kenalan, berjabat tangan atau memohon maaf bersalam-salaman. Ada sesuatu yang lebih hakiki dari itu semua, iaitu aspek mental dan ketulusan hati. Hal ini sesuai dengan kata asal dari silaturrahim itu sendiri, iaitu 'silah' atau 'wasal' yang bererti menyambungkan atau menghimpun, dan 'rahim' yang bererti kasih sayang. Membawa maksud sebuah proses aktif dari sesuatu yang asalnya tidak bersambung kepada bersambung.

Menghimpun pula biasanya mengandungi makna sesuatu yang tercerai-berai dan berselerakan, menjadi sesuatu yang bersatu dan utuh kembali. Tentang hal ini Rasulullah saw bersabda, "Yang disebut bersilaturrahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturrahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus" (HR : Bukhari).

PENCERAHAN :
Kalau orang lain mengunjungi kita dan kita balas mengunjunginya, ini tidak memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Boleh jadi kita melakukannya kerana merasa malu atau berhutang budi kepada orang tersebut. Namun, bila ada orang yang tidak pernah bersilaturrahim kepada kita, lalu dengan sengaja kita mengunjunginya walau harus menempuh jarak yang jauh dan memenatkan, maka inilah yang disebut silaturrahim.

Apalagi kalau kita bersilaturrahim kepada orang yang sedia membenci kita, seseorang yang sangat menghindari pertemuan dengan kita, lalu kita menggagahkan diri untuk bertemu dengannya. Inilah silaturrahim yang sebenarnya.

Rasulullah saw pernah memberikan nasihat kepada para sahabat, "Hendaklah kamu mengharapkan kemuliaan dari Allah". Para sahabat pun bertanya, "Apakah yang dimaksud itu, Ya Rasulullah?" Baginda kemudian bersabda lagi, "Hendaklah kamu suka menghubungkan tali silaturrahim kepada orang yang telah memutuskannya, memberi sesuatu (hadiah) kepada orang yang tidak pernah memberi sesuatu kepada kamu, dan hendaklah kamu bersabar (jangan lekas marah) kepada orang yang menganggap kamu bodoh." (HR : Hakim).

Dalam hadis lain dikisahkan pula, "Maukah kamu aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan puasa?" tanya Rasulullah saw kepada para sahabat. "Tentu saja," jawab mereka. Baginda kemudian menjelaskan, "Engkau damaikan orang yang bertengkar, menyembungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-mara yang terpisah, menyatukan berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan tali persaudaraan di antara mereka adalah amal saleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturrahim"
(HR : Bukhari dan Muslim)

KESIMPULAN :
Silaturrahim adalah jalan menghubungkan kembali hubungan yang telah terputus. Ulama' sebut kita asal dari rahim yang sama iaitu rahim Siti Hawa dan sama-sama hamba kepada Ar-Rahim, jadi kenapa kita harus terputus?

Mutaakhir ini, banyak alat perhubungan telah tercipta... tujuan asal memang untuk memudahkan perhubungan sesama manusia tetapi alat ini jugalah yang banyak memutuskan hubungan manusia. Contoh, bila bertemu tiga - empat orang rakan di kedai kopi, bukan lagi bersembang tapi masing-masing dengan asyik melayan gadget masing-masing.

Berapa banyak rumah-tangga yang bercerai-berai. Berapa ramai saudara-mara, jiran-tetangga, rakan-taulan, rakan setempat kerja, rakan tapi mesra... yang akhirnya bermasam muka, muncung mencuka, tidak lagi bertegur sapa hanya kerana 'update status' alat perhubungan mereka...! Berpunca kerana lupa atau tidak selalu 'update status' dengan-Nya !
Wallahu 'alam -

Terima kasih dan semoga istiqamah Ust Kay.

Khamis, 20 Februari 2014

Pertandingan MTQ Peringkat Sekolah

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana Pertandingan MTQ bagi sesi pagi telah selesai diadakan pada hari rabu 19 Februari 2014. Acara yang dipertandingkan adalah nasyid, syarahan spontan, tilawah al Quran dan hafazan.
Pertandingan tilawah al Quran dan hafazan tamat jam 6 petang dan terpaksa di sambung keesokan harinya kerana penyertaan yang amat menggalakkan dari murid.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada AJK MTQ, barisan hakim, semua guru dan peserta2 yang mengambil bahagian  dalam pertandingan ini  .
Tahniah kepada murid yang berjaya.... dan yang belum berjaya cuba lagi tahun hadapan.
Barisan hakim syarahan
Rujuk teks sebab tak hafal
Pengerusi Majlis
Hakim nasyid 
Hakim Tilawah dan Hafazan

Pengerusi Majlis pertandingan tilawah dan hafazan

Rabu, 19 Februari 2014

Rahmat Dan Barakah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم ُ
TAZKIRAH HARI INI
Rahmat dan Barakah


Tentunya kita sering memberi atau menerima ucapan "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh" yang ertinya 'Selamat sejahtera ke atas kamu semoga Rahmat Allah dan Barakah Allah juga ke atas kamu'. Mungkin anda pernah tertanya-tanya, apakah sebenarnya makna "Rahmat" dan "Barakah" ?
RAHMAT : Berasal dari kata dasar “rahima, yang bererti “kurnia”, atau “pemberian” dan kalimah ini sangat dekat dengan maksud “nikmat” pemberian Allah atas dasar kasih sayang-Nya. Rahmat Allah boleh berbentuk ampunan dosa, perlindungan, petunjuk, dan juga kebaikan. Kadar seorang hamba memperoleh rahmat sesuai dengan jauh atau dekat hubungannya dengan Allah. Sifat rahmat Allah SWT melebihi kemurkaan-Nya sebagaimana hadis baginda Rasulullah saw dari Abu Hurairah :
لَمَّا قَضَى اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ فِى كِتَابِهِ ، فَهْوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ إِنَّ رَحْمَتِى غَلَبَتْ غَضَبِى
“Ketika Allah SWT menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas arasy :
Sesungguhnya rahmat Ku mengalahkan (mengatasi) marah Ku  (Hadis muttafaqun ‘alaih , bukhari : 3194 , muslim : 2751)
Begitu juga dengan sabda Rasulullah saw yang lain, juga dari Abu Hurairah ra :
“Allah SWT memiliki 100 rahmat. Dari rahmat-rahmat itu Dia menurunkan 1 rahmat untuk para jin, manusia, haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang, berlemah lembut dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah mengakhirkan 99 rahmat-Nya yang akan diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada hari kiamat nanti.” (Hadis muttafaqun ‘alaih , Bokhari : 6000 dan Muslim : 2752)
BARAKAH dari segi bahasa berkat atau “barakah” bermaksud bertambah dan berkembang. ia menunjukkan ‘kebaikan yang banyak’. Ulama juga memberikan pengertian barakah kepada tiga :
1. Barakah bererti an-nama’ (tumbuh). Tumbuh, bertambah secara kualiti atau nilai, bukan kuantiti atau jumlah.
2. Barakah adalah al-ziyadah (bertambah atau berkembang). Kalau ini bertambah secara kuantiti, ada perubahan jumlah yang boleh dilihat dengan mata kasar.
3. Barakah membawa maksud assa’adah (kebahagiaan).

Jika sebelum makan kita mohon kepada Allah untuk memberkati makanan kita. Maksudnya kita minta makanan itu bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan kita supaya tubuh kita kuat, tidak berpenyakit dan jiwa terasa ringan untuk melakukan ibadat.
Keberkatan waktu pula bermaksud keberkatan hidup. Kita diciptakan untuk tugas yang banyak dan penting. Waktu adalah modal utama kita untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
Tanpa keberkatan ‘waktu’ dan pengurusan masa yang bijak, sukar untuk kita melaksanakan amanah yang banyak dalam hidup kita yang singkat di dunia ini. Keberkatan waktu dan rezeki ini hanya boleh di dapati dengan iman dan takwa sahaja. Firman Allah SWT :
"Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi (kemakmuran) tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka (dengan kemiskinan dan kekacauan) disebabkan perbuatannya." (Al-’Araf : Ayat 96).
Sebab itu kita lihat ulama-ulama dahulu mampu melakukan banyak perkara dalam hidup mereka yang penuh berkat. Ada yang menulis beratus-ratus kitab yang tebalnya berjilid-jilid disamping mengajar dan mempunyai beribu-ribu anak murid. Kita nak menulis sehari satu mukasurat pun tak berupaya. Apa tandanya? 
Terima kasih Ust Kay

Ahad, 9 Februari 2014

Piramid Pahala vs Piramid Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم ُ
TAZKIRAH PAGI INI...
Piramid Pahala vs Piramid Dosa

Pernah dengar Sistem Piramid ? Semakin bertambah ahli di bawah kita, semakin tinggi level. Semakin tinggi level semakin banyak masyuknya.. Begitu juga PAHALA dan DOSA.. gunakan kemudahan WhatsApp dan Telegram ini sebagai medium bukan shj utk bersosial dengan ramai kenalan tetapi juga manhaj dakwah yg cukup pantas !

Banyakkan perkongsian ilmu yg bermanfaat spt TAZKIRAH PAGI INI...dari perkara yg maksiat, cthnya mendedahkan gambar yg tidak menutup aurat atau berita fitnah adalah satu daripada saham yg sentiasa mengalir masuk ke "Akaun" seseorang walaupun dalam keadaan tidur...zzzzzz... kerana ia terus tersebar merata tempat !

MENAKJUBKAN :
Hanya beberapa minit sahaja TAZKIRAH PAGI INI... akan tersebar di seluruh negara dengan beribu-ribu org telah, sedang (spt yg ada sdg lakukan sekarang) atau akan membacanya. Bayangkan...banyaknya PAHALA yg akan anda dapat ! Begitulah juga jika anda sebarkan DOSA...

"Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Siapa yang melakukan satu sunnah hasanah dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengamalkan sunnah tersebut tanpa mengurangi pahala-pahala mereka sedikitpun. Dan siapa yang melakukan satu sunnah sayyiah dalam Islam, maka ia mendapatkan dosanya dan dosa orang-orang yang mengamalkan sunnah tersebut tanpa mengurangi dosa-dosa mereka sedikitpun.” (HR Muslim 4830)
Wallahu a'lam -
Terima kasih Ust Kay

Jumaat, 7 Februari 2014

Allah is beautiful and He loves beauty

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

TAZKIRAH PAGI INI...
Allah is beautiful and He loves beauty

Tazkirah pagi ni kita bicara santai sikit...hari cuti...
Sebut je tentang muslimah. Mesti gambaran kita seorang yang solehah, baik, santun, lemah lembut..Allah.. Bestnya kalau semua muslimah jadi macam tu.. :)

Tapi...tak kurang jugak, ada yang melatah bila melihat muslimah itu bergaya sedikit.. "Perempuan bergaya HARAM. Pakai cantik-cantik HARAM. Berfesyen sikit HARAM."

Kenapa ya sesetengah individu begitu ekstrim berdakwah sampaikan kalau boleh semua benda nak dicopkan haram tanpa mengkaji hukum perkara tersebut terlebih dahulu.
Hmm... Adakah Islam agama yang begitu ekstrim, keras, rigid dan kaku ? Adakah Islam menyekat fitrah manusia untuk menyukai kecantikan? Islam is fleksibel ok.

That's why dalam Islam ada konsep murunah. Murunah ialah anjal atau fleksibel iaitu boleh berubah mengikut kesesuaian, namun masih tetap prinsip asasnya. Murunah merupakan satu kelonggaran atau kemudahan yang diberi kepada semua muslimin muslimat tetapi tetap pada thabatnya, iaitu menutup aurat, tidak berlebih-lebihan (tabarruj) dan menepati syariat.

Jadi, tak salah pun nak berfesyen asalkan tak terkeluar dari landasan syarak...

"...Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tuduh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka..." (An-Nur ayat 31)

"...Allah itu cantik dan sukakan kecantikan..."
(Sahih Muslim) Senang melihat muslimah-muslimah cantik bergaya, berjubah dan bertudung labuh tetapi pada masa yang sama mengikut syariat Islam.. :)
So sweet... wallahu a'lam
TQ Ust Kay

Rabu, 5 Februari 2014

Kelebihan Selawat Ke atas Nabi SAW

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH HARI INI...
Kelebihan Selawat ke atas Nabi SAW


Sebelum kita melihat Kelebihan Selawat ke atas Nabi SAW, kita fahami dahulu makna perkataan selawat ini.
Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”.
(Surah al-Ahzab: ayat 43).

Hukum berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.

Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Isnin, 3 Februari 2014

Qana'ah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم ُ
TAZKIRAH HARI INI...
Qana'ah (Merasa cukup dgn apa yg ada)
Firman ALLAH SWT: 

“Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan ALLAH, dan ALLAH Dia lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), lagi Maha Terpuji.”

Pengajaran Ayat :
Ayat di atas adalah ayat yang menyatakan bahawa manusia sememangnya perlu kepada ALLAH dan kita haruslah merasa cukup dengan ALLAH dan pemberianNya.
Barangsiapa yang diberikan sifat qana’ah oleh ALLAH, maka sesungguhnya ALLAH menginginkan kebaikan bagi dirinya, kerana dengan sifat qana’ah dapat menyelamatkan dirinya daripada kehinaan mengemis, dan dapat memelihara kehormatannya daripada mengharapkan sesuatu pertolongan selain ALLAH

Sifat qana’ah bukanlah bermaksud kita tidak perlu berusaha untuk mencapai yang terbaik di dalam hidup tetapi kita harus bekerja dengan cara yang halal dan menghilangkan sikap malas, untuk mendapatkan rezeki daripada usaha dan keringat sendiri.

Cuba kita fikirkan, betapa indahnya pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang hamba demi untuk mencukupkan keperluan dan orang-orang tersayang di bawah tanggungannya. Ini kerana bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga merupakan satu bentuk ibadah yang sangat mulia apabila disertai dengan niat yang baik dan benar, terutamanya apabila kewangan yang diperolehi dikelolakan secara baik, tidak membazir dan tidaklah pula terlalu berjimat, malah redha dengan yang sedikit, di atur cara kehidupan yang bersederhana, mengikut keadaan sewajarnya dan mencukupi.

Wallahu a'lam
TQ... Ust Kay

Ahad, 2 Februari 2014

11 Akibat Berbuat Maksiat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
TAZKIRAH HARI INI..
11 Akibat Berbuat Maksiat


1) Maksiat Menghalangi Ilmu Pengetahuan
Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Namun, kemaksiatan dalam hati dapat menghalangi dan memadamkan cahaya tersebut. Ketika Imam Malik melihat kecerdasan dan daya hafal Imam Syafi'e yang luarbiasa, beliau (Imam Malik) berkata, "Aku melihat Allah telah menyiratkan cahaya di dalam hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat".

2) Maksiat mengahalangi Rezeki
Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkannya bererti menimbulkan kefakiran. "Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang diperbuatnya". (HR Ahmad)

3) Maksiat Menimbulkan Jarak dengan Allah
Diriwayatkan ada seorang lelaki yang mengeluh kepada seorang arif tentang kesunyian jiwanya. Sang arif berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa-dosa, maka tinggalkanlah (perbuatan dosa itu). Dalam hati kita, tak ada perkara yang lebih pahit daripada kegersangan dosa di atas dosa".

4) Maksiat Menjauhkan Pelakunya Dari Orang Lain
Terutama dari golongan yang baik. Semakin berat tekanannya, maka semakin jauh pula jaraknya hingga berbagai manfaat dari orang yang baik terhalangi. Kesunyian dan kegersangan ini semakin menguat hingga berpengaruh pada hubungan dengan keluarga, anak-anak dan hati nuraninya sendiri. Seorang salaf berkata, "Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang(kenderaan) dan isteriku".

5) Maksiat Menyulitkan Urusan
Jika ketakwaan dapat memudahkan segala urusan, maka pelaku maksiat akan menghadapi kesulitan dalam menghadapi segala urusannya.

6) Maksiat menggelapkan hati
Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap-gulita. Ibnu Abbas RA berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

7) Maksiat Melemahkan Hati dan Badan
Kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat maka kuatlah badannya. Tapi bagi pelaku maksiat, meskipun badannya kuat, sesungguhnya dia sangat lemah jika kekuatan itu sedang dia perlukan, hingga kekuatan pada dirinya sering menipu dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana kekuatan fizik dan hati kaum muslimin yang telah mengalahkan kekuatan fizik bangsa Persia dan Romawi.

8) Maksiat Menghalangi Ketaatan
Orang yang melakukan dosa dan maksiat akan cenderung untuk memutuskan ketaatan. Seperti selayaknya orang yang satu kali makan tetapi mangalami sakit yg berpanjangan dan menghalanginya dari memakan makanan lain yang lebih baik.

9) Maksiat Memendekkan Umur dan Menghapus Keberkahan
Pada dasarnya umur manusia dihitung dari masa hidupnya. Sementara itu tak ada yang namanya hidup kecuali jika kehidupan itu dihabiskan dengan ketaatan, ibadah, cinta dan zikir kepada Allah serta mementingkan keredhaanNya.

10) Maksiat Menumbuhkan Maksiat Lain
Seorang ulama salaf berkata bahawa jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorong dia untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi si pelaku.

11) Maksiat Mematikan Bisikan Hati Nurani
Maksiat dapat melemahkan hati dari kebaikan dan sebaliknya akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain. Maksiat juga dapat memutuskan keinginan seseorang untuk bertaubat.
" Wahai hamba-hambakKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Mahamengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah yang Maha Pemgampun, Maha Penyayang."
[39 : 53]

Wallahu a'lam
TQ Ust Kay

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...