Sabtu, 31 Januari 2015

Takwim Peperiksaan/Pentaksiran 2015

Mudah nak merancang aktiviti  bila dah tahu tarikh peperiksaan  dan Pentaksiran  2015.

Isnin, 26 Januari 2015

Ceramah Maulidur Rasul 2015

Tarikh   : 16 Januari  2015
Tempat :  Dewan  Bestari  SMK  Sungai  Besar 
                 Surau At Taqwa  SMK Sungai  Besar 
Penceramah  : Ustaz Norsyamsul Bin Abdul Roni
                        Masjid Negara  Kuala  Lumpur 
Pengerusi Majlis .... Ustaz Hj Mohd Redzuan
Ceramah yang cukup menarik
Dapat hadiah dari penceramah 
Terima kasih daun keladi
Jika diundang datanglah lagi
Ceramah Maulidur Rasul sesi petang
Penuh surau dengan murid ting 1dan 2

Jumaat, 23 Januari 2015

Gotong Royong Surau At Taqwa

Gotong  royong membersihkan  surau At Taqwa pada 1 Januari  2015 . Apabila  ada kesan tapak kaki anjing di dalam dan di luar surau maka ajk surau sepakat untuk bersama membersihkan  najis mughallazoh .
Seronok  mereka membantu membersihkan  surau... terima  kasih  anak-anak  Pn Roziyah dan anak2   ustazah Zuraidah .  Syukran  kerana  membantu.  
Terima  kasih  pada semua  guru Pendidikan  Islam  , ajk pengurusan  surau , warden  asrama  dan pn Roziyah   (GKMP)

Selasa, 6 Januari 2015

SEDEKAH DENGAN POSTER

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Jumaat, 11 Rabiulawal 1436H. SEDEKAH DENGAN POSTER!

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : Dari Adiyie bin Hatim r.a berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan separuh biji kurma." (HR : Al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa amalan bersedekah itu walaupun hanya sedikit dengan separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka. Namun perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah. Bukan disebabkan sesuatu seperti kerana nama atau asal bersedekah sahaja. Supaya perbuatan bersedekah itu tidak menjadi sia-sia, agama Islam telah mengajar umatnya bahawa ketika bersedekah, maka biarlah menepati erti sedekah yang sebenarnya.

PENCERAHAN :
Barang yang disedekahkan itu antaranya hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya. Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi si penerima seperti firman Allah SWT :

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji." (QS Al-Baqarah : 267)

Antara adab-adab lain dalam bersedekah ialah:
1) Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima).
2) Ikhlas dalam bersedekah. Wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana Allah dan demi untuk mendapatkan keredaan-Nya bukan untuk menunjuk-nunjuk (siap tampal gambar poster si pemberi lagi, besar pulak tu!)
3) Mendahulukan sedekah yang wajib (zakat) Sebagaimana yang disebut dalam hadis qudsi yang bermaksud: "... Dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa-apa yang telah Aku wajibkan atasnya..." (HR : Bukhari)
4) Tidak boleh menunda untuk membayar sedekah (zakat) yang wajib tanpa ada keuzuran.
5) Sedekah yang dikeluarkan hendaklah dipastikan diberi kepada mereka yang benar-benar memerlukan seperti orang miskin, anak-anak yatim, mangsa musibah banjir dan seumpamanya.
6) Bersedekah dengan harta yang halal antara sebab sedekah tersebut diterima olah Allah dan membuahkan pahala.
7) Tidak mengungkit-ungkit sedekahnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)....." (QS Al-Baqarah : 264) Contoh ayat sentap, dah beri mesti undi kami kalau tak, jadi haram...
8) Wajib ke atas pemberi sedekah merenung nikmat Allah SWT ke atas dirinya kerana Allah memberikan rezeki yang lebih banyak.
9) Mendahulukan sedekah kepada waris terdekat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sedekah kepada orang miskin (mendapat satu pahala), sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan silaturrahim". (HR : Bukhari dan Muslim)
10) Jangan buruk siku. Tidak harus seseorang mengambil kembali sedekah daripada orang yang menerimanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang bersedekah kemudian dia mengambil kembali sedekahnya, seperti anjing yang memuntahkan sesuatu kemudian ia menjilat muntahnya untuk memakannya kembali." (HR : Muslim)

Jika kita tidak beradab di dalam melaksanakan amal ibadah seperti sedekah ini dikhuatiri akan terjerumus dengan dosa riya' pula. Ketahuilah bahawa riya' ini adalah usaha untuk mencari kedudukan di hati orang lain agar dihormati, disegani dan dipuji yang bertujuan untuk menampakkan dirinya kepada orang lain agar diketahui kedermawanannya, kebaikannya dan amalannya. Betapa ramai manusia binasa dengan nafsu rasa ingin dipuji ini. Mereka lupa bahawa apa yang mereka ada itu adalah kerana izin Allah SWT jua. Jika Allah tidak memberikannya, maka tiada satu pun pada mereka.

So, all practices purely to seek the pleasure of Allah ! Sedekah biar hanya dilihat Allah, itu pastinya lebih baik. Rasanya tak perlulah berselfie ambik gambar bagai, lepas tu upload ke instagram, whatsapp, telegram, facebook dan sebagainya. Kecuali dengan niat nak tunjukkan kepada para penyumbang dana bahawa wang atau barang sumbangan telah disampaikan.

(17 JANUARI 2015 INI GENAP SETAHUN CCUK BERSIARAN DI MEDIA SOSIAL TIAP-TIAP HARI TANPA TERKECUALI. DOAKAN TERUS ISTIQAMAH DAN SOKONGAN BERTERUSAN DARI ANDA DENGAN BELI BUKU CCUK)
ٌ
"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." QS Al Baqarah : 271)

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرّاً وَعَلاَنِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita." (QS Al Baqarah: 274)

KESIMPULAN :
Cuma dikhuatiri bila kita sudah dapat apa yang diniatkan ketika bersedekah di dunia, di akhirat nanti kita tak dapat apa-apa lagi. Firman Allah Taala, mafhumnya: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (QS As-Syura : 20)

Wallahu a'lam - Sedekah bukan untuk bermegah ! Ukay's (UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

Suka Tapi Benci

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 15 Rabiulawal 1436H. SUKA TAPI BENCI?

Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita mungkin tidak pernah menganggu hidup sesiapa dan tidak pernah pula membenci atau menyakiti hati sesiapa. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Tiba-tiba sahaja mereka menjauhkan diri daripada kita. Tiba-tiba sahaja mereka mendiamkan diri 1000 bahasa. Berkata-kata buruk tentang kita di belakang kita atau melakukan sesuatu yang menyakitkan hati kita. Pernah alami? Pernah?

PENCERAHAN :
Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri. Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada mata, mulut, hidung, tahi lalat, jerawat, jeragat, kulit kusam (sebab tak pakai produk terlajak untung!) dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka, benci dan meluat melihat kita. Mungkin...

Jika kita tidak berbuat apa-apa sekalipun mereka akan cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Sikap orang adalah cermin kepada sikap kita sendiri sebenarnya. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang, tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita terlepas pandang dan mungkin ada sesuatu dalam diri kita yang perlu diperbetulkan. Bertenang dan jangan membalas kebencian mereka dengan kebencian juga. Ingat firman Allah SWT :

ْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"... Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS. Al-Baqarah : 216)

Seandainya kita sememangnya tidak melakukan kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka. Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.

Bukan semua orang suka kita tatkala kita lakukan pelbagai perkara baik dalam kehidupan. Contoh, Unit Amal Malaysia, sukarelawan yang membantu mangsa banjir, bukan semua orang suka (terutama pihak yang cemburu dengan keikhlasan mereka). Perkara ini dikongsi oleh semua orang. Malah Rasulullah SAW sendiri tidak disukai musyrikin Mekah pada ketika itu. Tetapi Rasulullah SAW ada ramai umat yang sayangkan baginda.

Ketahuilah bahawa perkara ini juga adalah ujian dari Allah. Orang suka kita ketika melakukan salah.. Itu adalah ujian kepada diri kita untuk melawan rasa bangga atas kesalahan yang telah dilakukan. Manakala ada orang yang sentiasa melakukan kebaikan pula menghadapi masalah berdepan dengan orang yang dengki terhadapnya. Ini juga ujian...

Biarlah semua kenalan menolak kita yang penting kita jaga orang yang menyayangi kita dengan baik. Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita yang penting kita tidak meninggalkan keluarga kita. Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim dengan mereka. Biarlah seluruh manusia membenci kita yang penting kita tidak dibenci Pencipta Manusia.

Seandainya kita percaya bahawa dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa. Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang sia-sia.

(PADA 17 JANUARI 2015 INI, CCUK GENAP SETAHUN IAITU GENAP SIRI YANG KE-365. DAPATKAN BUKU CCUK, TERLAJAK LARIS!)

“Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resah dan takutlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.” – Imam Al-Ghazali

Orang yang kita anggap kawan,
Orang yang sering mendengar cerita kita,
Orang yang selalu bergelak ketawa dengan 'punch line' kita,
Orang yang selalu dengan kita..
Mungkin sebenarnya mereka tak suka dengan cara kita,
Mungkin sebenarnya mereka tak suka dengan personaliti kita, atau...
Mungkin sebenarnya mereka sentap dan dalam diam-diam mula membenci kita.

Ringkasnya, mereka yang membenci kita mungkin akan terus membenci sehingga dibukakan pintu hati untuk menyayangi kita. Manakala mereka yang menyayangi kita juga mungkin akan terus menyayangi sehingga mereka bertindak sebaliknya. Sebab itulah, ada kawan menjadi lawan, ada lawan menjadi kawan kerana manusia boleh berubah bagai pantai seusai bah. Bezanya pantai berubah struktur, manusia berubah pemikiran sekaligus tindakan susulan.

KESIMPULAN :
Bagaimanapun selagi bilangan mereka yang menyayangi kita jauh lebih ramai berbanding mereka yang membenci, itu sudah mencukupi membenarkan kita hidup di dunia sementara ini secara tenang. Wallahu a'lam - Namun orang kata hidup biarlah ramai kawan, kerana musuh seorang, sebenarnya sudahpun mencukupi. Ukay's (UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...