Selasa, 6 Januari 2015

Suka Tapi Benci

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Selasa, 15 Rabiulawal 1436H. SUKA TAPI BENCI?

Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita mungkin tidak pernah menganggu hidup sesiapa dan tidak pernah pula membenci atau menyakiti hati sesiapa. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Tiba-tiba sahaja mereka menjauhkan diri daripada kita. Tiba-tiba sahaja mereka mendiamkan diri 1000 bahasa. Berkata-kata buruk tentang kita di belakang kita atau melakukan sesuatu yang menyakitkan hati kita. Pernah alami? Pernah?

PENCERAHAN :
Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri. Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada mata, mulut, hidung, tahi lalat, jerawat, jeragat, kulit kusam (sebab tak pakai produk terlajak untung!) dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka, benci dan meluat melihat kita. Mungkin...

Jika kita tidak berbuat apa-apa sekalipun mereka akan cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Sikap orang adalah cermin kepada sikap kita sendiri sebenarnya. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang, tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita terlepas pandang dan mungkin ada sesuatu dalam diri kita yang perlu diperbetulkan. Bertenang dan jangan membalas kebencian mereka dengan kebencian juga. Ingat firman Allah SWT :

ْ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"... Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (QS. Al-Baqarah : 216)

Seandainya kita sememangnya tidak melakukan kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka. Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.

Bukan semua orang suka kita tatkala kita lakukan pelbagai perkara baik dalam kehidupan. Contoh, Unit Amal Malaysia, sukarelawan yang membantu mangsa banjir, bukan semua orang suka (terutama pihak yang cemburu dengan keikhlasan mereka). Perkara ini dikongsi oleh semua orang. Malah Rasulullah SAW sendiri tidak disukai musyrikin Mekah pada ketika itu. Tetapi Rasulullah SAW ada ramai umat yang sayangkan baginda.

Ketahuilah bahawa perkara ini juga adalah ujian dari Allah. Orang suka kita ketika melakukan salah.. Itu adalah ujian kepada diri kita untuk melawan rasa bangga atas kesalahan yang telah dilakukan. Manakala ada orang yang sentiasa melakukan kebaikan pula menghadapi masalah berdepan dengan orang yang dengki terhadapnya. Ini juga ujian...

Biarlah semua kenalan menolak kita yang penting kita jaga orang yang menyayangi kita dengan baik. Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita yang penting kita tidak meninggalkan keluarga kita. Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim dengan mereka. Biarlah seluruh manusia membenci kita yang penting kita tidak dibenci Pencipta Manusia.

Seandainya kita percaya bahawa dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa. Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang sia-sia.

(PADA 17 JANUARI 2015 INI, CCUK GENAP SETAHUN IAITU GENAP SIRI YANG KE-365. DAPATKAN BUKU CCUK, TERLAJAK LARIS!)

“Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resah dan takutlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.” – Imam Al-Ghazali

Orang yang kita anggap kawan,
Orang yang sering mendengar cerita kita,
Orang yang selalu bergelak ketawa dengan 'punch line' kita,
Orang yang selalu dengan kita..
Mungkin sebenarnya mereka tak suka dengan cara kita,
Mungkin sebenarnya mereka tak suka dengan personaliti kita, atau...
Mungkin sebenarnya mereka sentap dan dalam diam-diam mula membenci kita.

Ringkasnya, mereka yang membenci kita mungkin akan terus membenci sehingga dibukakan pintu hati untuk menyayangi kita. Manakala mereka yang menyayangi kita juga mungkin akan terus menyayangi sehingga mereka bertindak sebaliknya. Sebab itulah, ada kawan menjadi lawan, ada lawan menjadi kawan kerana manusia boleh berubah bagai pantai seusai bah. Bezanya pantai berubah struktur, manusia berubah pemikiran sekaligus tindakan susulan.

KESIMPULAN :
Bagaimanapun selagi bilangan mereka yang menyayangi kita jauh lebih ramai berbanding mereka yang membenci, itu sudah mencukupi membenarkan kita hidup di dunia sementara ini secara tenang. Wallahu a'lam - Namun orang kata hidup biarlah ramai kawan, kerana musuh seorang, sebenarnya sudahpun mencukupi. Ukay's (UST. HJ. KAMIL BIN SIDEK)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...