Ahad, 7 Disember 2014

Awak kat mana??

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Ahad, 14 Safar 1436H.
AWAK KAT MANE? AWAK, AWAK KAT MANE?

SUBANG JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, *****************, meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditinggalkan lebih lima jam di dalam kenderaan ibunya di sebuah sekolah di sini, semalam.

Ketika kejadian, ibu mangsa, ************* bt. **********, 32, dikatakan bergegas menghadiri mesyuarat di sekolah berkenaan pada pukul 11 pagi, selepas menghantar adik perempuannya ke Lapangan Terbang Subang.

Beliau dikatakan tidak menyedari bahawa mangsa sedang tidur di kerusi bahagian belakang kereta kerana kebiasaannya ********** dihantar ke pusat penjagaan. Namun sejak dua hari kebelakangan ini, mangsa telah dijaga oleh ibu saudaranya.

*************** hanya menyedari bahawa anaknya itu berada di dalam kereta selepas dia kembali semula ke kenderaan itu pada pukul 5.30 petang. Sewaktu ditemui, mangsa sudah kaku dan mukanya bertukar kebiru-biruan. Mangsa terus dikejarkan ke klinik, namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

PENCERAHAN :
Petikan laporan akhbar di atas adalah kisah benar yang pernah dilaporkan berlaku di negara kita. Cuma nama mangsa dan ibu mangsa Ust. Kay padamkan supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak dan menambahkan trauma kepada ibu mangsa lagi.
Itu anak lemas di atas faktor ketidaksengajaan (kelalaian) ibu mangsa. Tapi bagaimana pula anak-anak dara yang lemas dalam pelukan jantan durjana. Di mana ibu bapa mereka? Ada yang beralasan ; "Kami sudah memberikan didikan agama secukupnya kepada mereka Ustaz!, mereka dah besar panjang, pandai-pandailah mereka memilih jalan hidup mereka."

Betulkah jawapan seperti ini? Agak-agak terlepaskah penanggungjawaban tentang amanah kita sebagai ibu bapanya pada anak di Yaumul Mahsyar nanti? Allah terima tak jawapan seperti itu? CCUK semalam (tajuk : Buat Anak Pandai) ramai yang respon melahirkan rasa terkejut dengan bahasa yang agak kasar. Memang tujuan Ust. Kay agar ramai yang tercuit ! Namanya pun cuit-cuit... Kadangkala bila kita sampaikan sesuatu secara mendatar sahaja, tiada siapa yang peduli...

Siapa yang tak mahu anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Amanah yang digalas mampu ditunaikan sebaik mungkin. Anak adalah amanah Allah yang sangat besar dan berat untuk dipikul oleh kedua ibu bapa. Bukan mudah untuk memastikan anak-anak kita menjadi insan yang berguna dalam zaman serba moden hari ini. Banyak rintangan yang perlu dihadapi untuk memastikan anak kita menjadi insan yang bertaqwa. Malah kita tak mampu untuk mengawasi mereka sepanjang 24 jam sehari, 30 hari sebulan dan 365 hari dalam setahun.

Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat.

Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. 'TANGGUNGJAWAB' bermaksud, tanggung di dunia dan jawab di akhirat. Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (HR : Ibnu Hibban)

Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Mudah-mudahan, dengan cara ini mampu melahirkan jenerasi Rabbani yang mempunyai jati diri Islam yang kuat dan tidak tergugat apabila mereka bercampur dengan masyarakat yang pelbagai sifatnya.

Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah. Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :

“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”

Cuba renungkan sejenak, di mana anak-anak kita berada sekarang ketika anda sedang membaca CCUK ini? Mereka dimana? Mereka-mereka dimana?

KESIMPULAN :
A.N.A.K =
ANUGERAH dan merupakan satu amanah Allah.
NIKMAT yang harus disyukuri bukan dikufuri.
ADIL pada peranan kita sebagai ibu bapanya.
KERJASAMA semua pihak agar anak kita berjaya. Wallahu a'lam - Kita dulu adalah anak juga kepada ibu bapa kita. Ukay's (UST. HAJI KAMIL ANAK LELAKI BONGSU KEPADA HAJI SIDEK DAN HAJJAH SHARIPAH)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...