Jumaat, 19 September 2014

Wei Orang Sebelah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Jumaat, 24 Zulkaedah 1435H
. "WEI ORANG SEBELAH"
Jiran ditakrifkan sebagai mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita. Kedudukan rumah jiran dikatakan dalam perimeter 40 buah rumah sekeliling rumah kita dan ada juga berpendapat jiran itu 40 buah rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri, 40 rumah ke hadapan dan 40 rumah ke belakang, malah 40 ke atas dan 40 ke bawah (rumah flat kot !)
Ada beberapa jenis jiran dan tuntutan haknya:
1) Jiran Muslim (mempunyai pertalian keluarga / kerabat) - Hak jiran, hak sesama Islam dan hak kerabat.
2) Jiran Muslim - Hak jiran dan hak sesama Islam.
3) Jiran Bukan Muslim - Hak jiran sahaja.
PENCERAHAN :
Jiran yang baik termasuk dalam asas kebahagiaan manusia. Dari Sa’d bin Abi Waqash ra. : Rasulullah SAW bersabda, “Ada empat perkara yang termasuk kebahagiaan:
(a) Isteri yang solehah,
(b) Tempat tinggal yang luas,
(c) Jiran yang baik dan
(d) Kenderaan yang selesa.
Dan empat perkara yang termasuk kesengsaraan:
(a) Jiran yang jahat,
(b) Isteri yang buruk (agama dan akhlaknya),
(c) Tempat tinggal yang sempit dan
(d) Kenderaan yang tidak selesa.”
(HR : Ibnu Hibban dan Al-Khatib)
Hari ini ramai orang yang suka bergaduh dengan jiran sendiri, sedangkan ancamannya berat di sisi syariat Islam. Seolah-olah lebih suka rumah sebelah kosong, tiada berpenghuni atau tidak kisah jika tiada jiran. Orang seperti ini adalah orang yang sombong dan bongkak. Bila dia meninggal dunia elok mandi jenazah sendiri, bergolek-golek pakai kain kapan sendiri, sembahyang jenazah sendiri kemudian terlompat-lompat pergi ke tanah perkuburan sendiri. (Jangan bayangkan, seramnya...!)
Antara perkara yang kita tidak boleh lakukan kepada jiran kita ialah:
1. Haram menyakiti jiran. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda; “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa aman dari kejahatannya.” (HR: Bukhari dan Muslim)
2. Asyik bergaduh dengan jiran. Dari ‘Uqbah bin Amir r.a : Nabi SAW bersabda, “Dua orang yang berdebat pertama kali pada hari kiamat adalah dua orang jiran.” (HR: Thabrani dan Ahmad)
3. Membiarkan jirannya kelaparan sedangkan dia kekenyangan. Dari Abdullah bin Musawir, katanya : Aku mendengar Ibnu ‘Abbas r.a menyebutkan Ibnu Zubair, lalu menuduhnya bakhil. Kemudian berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah disebut mukmin orang yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya kelaparan.” (HR: Bukhari, Hakim dan Al-Khatib)
Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak dalam Islam, memberikan empat asas kewajiban berjiran, iaitu jangan menyakiti jiran, memelihara jiran, berbuat baik kepada jiran dan menanggung kejahatan jiran. Memang jika diikutkan hati yang panas, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan yang paling mulia.
Rasulullah SAW selalu memuji orang yang berlapang dada, memberi maaf kepada mereka yang enggan berbuat begitu kepada kita, malah menghubung silaturrahim dengan mereka yang memutuskan silaturrahim. Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan semangat kejiranan. Justeru, kita dituntut bersabar dan tidak mudah marah walau sejahat manapun jiran kita. Sabar jelah...
Sesungguhnya Allah amat sukakan orang yang bersabar. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ada tiga kelompok manusia yang dicintai Allah... disebutkan di antaranya ialah seseorang yang mempunyai tetangga, ia selalu disakiti oleh tetangganya, namun ia sabar atas gangguannya itu hingga keduanya dipisah oleh kematian atau keberangkatannya.” (HR: Ahmad dan disahihkan oleh Al-Albani)
KESIMPULAN :
Jiran tetangga adalah suatu golongan yang mendapat perhatian besar dalam lslam. Hormat-menghormati, tolong menolong dan bermuafakat adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat. Wallahu a'lam - Mu jiranku, ku jiranmu ! Ukay's

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...