Sabtu, 29 Mac 2014

Al-Firqah an-Najiyah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
TAZKIRAH HARI INI (Sabtu, 27 Jdl. Awal 1435
Al-Firqah an-Najiyah

Telah bersabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW, maknanya: “Dan sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan, 72 di antaranya di neraka dan hanya satu yang di syurga iaitu al-Jama’ah”. (HR: Abu Dawud)
Akal adalah syahid (saksi dan bukti) akan kebenaran syara’. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh ulama tauhid atau ulama al-kalam (teologi). Yang mereka lakukan adalah taufiq (pemaduan) antara kebenaran syara’ dengan kebenaran akal, mengikuti jejak nabi Ibrahim. Seperti dikisahkan al-Quran ketika membantah raja Namrud dan kaumnya, di mana baginda menundukkan mereka dengan dalil akal.
PENCERAHAN :
Ada tuduhan dari sesetengah golongan yang menyatakan kelompok yang berpegang kepada Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ) sebagai sesat kerana berhujahkan hujah akal.
Sedangkan berfikir, berhujah dengan akal juga adalah sesuatu yg dituntut dan diperintahkan oleh Allah SWT. Dengan ungkapan-ungkapan "afala ya'kilun...afala tatafakkarun... laa'llahum yatafakkarun...ya ulil albab" dan sebagainya.

Fungsi akal dalam agama adalah sebagai saksi bagi kebenaran syara’ bukan sebagai peletak dasar bagi agama itu sendiri. Berbeza dengan golongan falsafah yang berbicara tentang Allah, malaikat dan banyak hal lainnya yang hanya berdasarkan penilaian akal semata-mata. Mereka menjadikan akal sebagai dasar agama tanpa memandang ajaran yang dibawa para nabi dan rasul.

Tuduhan kaum Musyabbihah dan Mujassimah iaitu kaum yang sama sekali tidak memfungsikan akal dalam agama, terhadap Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai ’Aqlaniyyun (kaum yang hanya mengutamakan akal) atau sebagai kaum Mu’tazilah atau Afrakh al-Mu’tazilah (anak tunas kaum Mu’tazilah) dengan alasan kerana menggunakan akal sebagai salah satu sumber utama, adalah tuduhan yang amat salah. Ini tidak ubah seperti kata pepatah arab “Qabihul Kalam Silahulliam” kata-kata yang buruk adalah senjata para pengecut.

Oleh itu Ahli Sunnah tidak menolak menggunakan hujjah akal selain rujukan utama yang berpaksikan sumber wahyu Allah dan sunnah Rasulullah SAW tetap diterima pakai oleh ulama ASWJ sejak awal lagi seperti pegangan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.

Ahli Sunnah contohnya percaya bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu. Maksud hadis terputus semua 'amalannya' perlu difahami dengan jelas. Amalannya memang terputus sebab dia sudah meninggal dunia dan tak dapat beramal lagi tapi amalan orang lain untuknya insya Allah tidak terputus dan akan sampai dengan izin Allah jua. Contoh niatkan sumbangan sedekah pahalanya untuk si arwah.

Dalam Ahli Sunnah, ulama'nya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi ada golongan dan aliran yang mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan seumpamanya.

KESIMPULAN :
Banyak lagi perbezaan antara fahaman Ahli Sunnah dengan aliran yang bertentangan jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman yang berlainan ini memang wujud daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya walaupun mungkin ada kebaikannya.

Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...