Ahad, 29 Jun 2014

Ramadan Bulan Menambah Ilmu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Terawih) Isnin, 2 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN MENAMBAH ILMU - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,
Daripada Abu Waqid al-Laythi, bahawa ketika Rasulullah SAW duduk di masjid, ...Apabila Rasulullah SAW selesai (daripada bicaranya) baginda bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu tentang tiga orang yang datang itu? Yang seorang itu telah mencari perlindungan kepada Allah, (duduk dalam majlis ilmu) maka Allah memberi perlindungan kepadanya dan seorang lagi pemalu, (duduk majlis ilmu tapi jauh-jauh) maka Allah malu kepadanya. Manakala yang seorang lagi berpaling, maka Allah berpaling juga daripadanya." (HR : Al-Bukhari dan Muslim)
PENCERAHAN :
Inilah yang terjadi bila diadakan tazkirah atau majlis ilmu selepas Solat Sunat Terawih. Biasanya selepas 8 raka'at sebelum Solat Sunat Witir. Kalau selepas Witir lagi dahsyat, ramai yang sudah angkat kaki meninggalkan pergi. Pelik ! Yang sunat dibuat, yang wajib pula ditinggalkan. Lagi pelik bila ada yang marah-marah ketika Tazkirah Terawih diadakan dengan bertindak keluar dari masjid atau surau dan masuk semula setelah tazkirah selesai dengan alasan mengganggu 'ibadat'. Majlis ilmu itu bukan ibadat kot !
Sebenarnya, inilah kesempatan keemasan jawatan kuasa masjid atau surau untuk menyampaikan ilmu kepada ahli kariah yang selama ini menyambut sepi majlis-majlis ilmu yang diadakan. Selalunya orang yang sama sahaja yang hadir, sedangkan tersangat banyak kelebihan yang telah Allah janjikan kepada mereka yang duduk dalam majlis ilmu dan bergelar Penuntut Ilmu, antaranya ialah;
1) Allah permudahkan bagi penuntut ilmu jalan ke syurga-Nya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلىَ الجَنَّةِ
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan untuk ke syurga." (HR : Muslim)
2) Allah menginginkan kebaikan bagi diri penuntut ilmu.
عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ
Daripada Muawiyah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham dalam bidang agama." (HR : Bukhari dan Muslim)
3) Ilmu menjadi amalan yang dapat dijadikan aset di akhirat nanti.
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila matinya seorang anak Adam itu, maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya."
(HR : Muslim)
4) Menuntut ilmu dikira antara ibadah dan jihad.
قَالَ مُعَاذُ بْن جَبَل رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: "تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ فَإِنَّ تَعَلُّمَهُ لِلَّهِ خَشْيَةٌ، وَطَلَبَهُ عِبَادَةٌ، وَمدَارَسَتَهُ تَسْبِيحٌ، وَالْبَحْثُ عَنْهُ جِهَادٌ، وَتَعْلِيمَهُ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ، وَبَذْلَهُ لأَهْلِهِ قُرْبةٌ، وَهُوَ الأَنِيْسُ فِي الوَحْدَةِ، وَالصَّاحِبُ فِي الخَلْوَةِ".
‏‏
Berkata Muaz bin Jabal: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntutnya kerana Allah adalah satu bentuk ketakwaan, mencarinya adalah ibadah, mengulangkajinya adalah tasbih, mengkajinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyampaikannya kepada ahlinya adalah mendekatkan diri kepada Allah. Dia adalah teman kala keseorangan dan sahabat ketika bersendirian.”
5) Penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang di jalan Allah.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ‏:‏ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏: ‏مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِع‏
‏
Daripada Anas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia di dalam sabilillah sehinggalah dia pulang."
(HR : At-Tirmizi)
Telah berkata Al-Fakih Abu Laits As-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin: "Barangsiapa datang kepada orang alim lalu hadir dalam majlisnya serta tidak mampu mengingati atau menghafal pelajaran tersebut maka baginya tetap mendapat 7 macam kemuliaan." Antaranya;
1- Dia akan mendapat kemuliaan orang-orang yang belajar agama.
2- Selama dia duduk di dalam majlis tersebut, dia akan tertahan daripada berbuat dosa dan kesalahan.
3- Apabila dia keluar daripada rumahnya turun rahmat ke atasnya.
4- Apabila duduk dia di sisi orang alim tersebut maka turun rahmat ke atas penuntut-penuntut ilmu, maka menimpa dia juga dengan berkat majlis tersebut.
5- Selama dia mendengar ilmu tersebut nescaya dituliskan baginya kebajikan.
6- Malaikat menaungi ke atas mereka dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan majlis tersebut.
7- Tiap-tiap kali kakinya melangkah dikifarahkan segala dosa-dosanya dan dinaikkan beberapa darjat dan ditambah segala kebajikan ke atasnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,
SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Begitulah betapa banyaknya kelebihan yang telah Allah sediakan bagi penuntut ilmu. Tidak kiralah apa-apa ilmu pun, asalkan ilmu itu bermanfaat dan bukanlah ilmu yang haram seperti ilmu sihir, ilmu mencuri, ilmu melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan sebagainya. Justeru, sebagai penuntut ilmu, kita haruslah sentiasa bersemangat tinggi dalam menuntut ilmu. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai turning point (bukan pening point) dan motivasi agar kita sentiasa istiqamah di atas landasan-Nya, Insya Allah !
Wallahu a'lam - Ramadhan bulan tambah ilmu. Ukay's

Ahad, 22 Jun 2014

Program Jom Solat Dan Mudahnya Solat

Program ini telah diadakan pada bulan april yang lalu. Terima kasih kepada penceramah iaitu ustaz Ahmad Muhid dan  semua guru yang terlibat . Semoga usaha kalian akan mendapat ganjaran yang baik dari Allah SWT.

Selasa, 3 Jun 2014

The Miracles of Istighfar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Isnin, 4 S'ban 1435H)
The Miracles Of Istighfar !

Istighfar ialah lafaz permohonan ampun kepada Allah SWT atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah, insya Allah...

PENCERAHAN :
uk.Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Telah jelas dan nyata, bahawa dengan bertaubat, akan dikurniakan rahmat dari-Nya. InsyaAllah, makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. lihat sahaja kisah mengenai Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu Mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya. Keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. uk.Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam. Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?. Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal” Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Janganlah segan beristighfar kerana ia termasuk di dalam perbuatan sunnah.

عَنْ الْأَغَرِّ الْمُزَنِيِّ وَكَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Dari Al Aghar Al Muzanni, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hatiku tidak pernah lalai dari zikir kepada Allah, sesungguhnya Aku beristighfar seratus kali dalam sehari." (HR : Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keajaiban Istighfar sebagaimana yang disebutkan Allah di dalam surah Nuh ayat 10 hingga 12, antaranya ialah:
1. Dapat menurunkan hujan
2. Dapat elak kefakiran
3. Dapat anak (bagi yang mandul / tiada anak). Dalilnya;
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (QS. Nuh : 12)

4. Doa akan dikabulkan kerana rajin berzikir beristighfar.
5. Takdir musibah yang berat diringankan oleh Allah.
6. Mengurangkan pertengkaran suami isteri. Dalilnya;
Ibnu Abbas r.a bahawa ia bercerita kepadanya, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah pasti akan selalu memberikannya jalan keluar dari setiap kesempitan dan kelapangan dari segala kegundahan serta Allah akan memberikan rezeki kepadanya dari arah yang tidak ia sangka-sangka."
(HR : Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad) uk.

7. Menjauhkan dari fitnah, dalilnya:
Dari Umar bahwa Nabi SAW selalu berlindung diri dari sifat pengecut dan bakhil, nyanyuk, seksa kubur, dan dari fitnah dada. Waki’ menerangkan; iaitu seseorang meninggal di atas fitnah dan dia tidak beristighfar kepada kepada Allah dari fitnah tersebut. (HR : Ibnu Majah dan Ahmad)

8. Termasuk sebagai penghuni Syurga
Di dalam hadis sahih Bukhari tercatat bahawa dengan membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Baginda Nabi bersabda: "Jika ia mengucapkan di waktu siang dengan penuh keyakinan lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka ia termasuk dari penghuni syurga. Dan jika ia membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk dari penghuni syurga." (HR : Bukhari, Timidzi, Ahmad dan Nasa'i)

9. Manfaat Istighfar Turut Dinikmati Orang Lain.
Dari Abu Hurairah, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza Wajalla akan mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga, hamba itu kemudian berkata; 'Wahai Rabb, dari mana semua ini? ' maka Allah berfirman; 'Dari istighfar anakmu.'"
(HR : Ahmad, Baihaqi, Tabarani dan Haitsami)

KESIMPULAN :
Nabi yang maksum yang terpelihara dari segala dosa pun sentiasa melafazkan istighfar dan memperbanyakkan bertaubat, tapi Ust Kay yang sukar untuk melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan istighfar. Allahu Allah... Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima selama ini mungkin adalah kerana hasil dosa-dosa yang telah kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa sulit tersebut.
Wallahu a'lam - Jom istighfar ! Ukay's.

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...