Khamis, 15 Mei 2014

Selamat Hari-hari Cikgu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 16 Rejab 1435H)
Selamat Hari-hari Cikgu !

Suatu pagi di dalam sebuah kelas 4 Lurus, Sekolah Kebangsaan Ust Kay, jauh di kawasan pedalaman.

Cikgu: Sebenarnya setiap guru tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada anak muridnya kerana mereka mengajar dengan ikhlas. Tapi cikgu tak kisah apa-apa jenis hadiah yang kamu nak berikan pada cikgu (mengharap juga lah tu... nampak permainan cikgu ni...)
Murid: Tapi cikgu, hadiah macam mana tu?
Cikgu : Cikgu cadangkan begini, jika ayah kamu penanam jagung… jagunglah bagi kat cikgu tu ! Jika kerja sebagai nelayan, ikan pun boleh...
Murid : Ohh…. begitu ye cikgu. Baik cikgu !
Keesokan harinya, penuh meja cikgu itu dengan pelbagai hadiah….. Macam-macam ada. Tersenyum lebar cikgu tu.
Cikgu : Hah !, kenapa kamu berpeluh ni Mamat? Datang lewat pulak tu ! (Sergah cikgu tersebut kepada seorang muridnya yang sedang termengah-mengah)
Mamat: Usung hadiah cikgulah…. tu ada kat luar kelas.
Cikgu : Ya.. Allah ! Batu nesan Mat ?????
Mamat: Ha….aaa ! (sambil kembangkan hidung bangga)
Cikgu : Ayah Mamat kerja apa?
Mamat : PEMBUAT BATU NESAAAAN... cikgu !
Cikgu: Errr... patutlah ! Emmm...Hadiah ni elok Mamat hadiahkan kepada Guru Besar ye....hihihihi !

PENCERAHAN :
Guru, Cikgu, Sifu, Teacher, Ustaz, Ustazah, Tok Guru adalah pekerjaan yang sama. Pengertian GURU bagi Orang Jawa ialah "Omonganne digugu, kelakoanne kenek ditiru." Hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gu' dan `Ru'. Perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh didengar ucapannya, nasihatnya dan boleh ditiru perbuatannya, tingkah lakunya dan penampilannya.

Guru juga sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid dan mudarris yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas. Bukan seperti senario di atas. Antara peranan guru ialah sebagai ;

1) Mu’alim bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal dan nilai-nilai murni.
2) Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental murid.
3) Mudarris adalah pengajar yang berperanan memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan fahami.
4) Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu memupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib menyiapkan mu’addab, kerana guru bukan sahaja perlu mengajar adab tetapi mesti beradab.
5) Mursyid bermaksud seseorang yang memberi tunjuk ajar dalam bidang kerohanian. Bertanggungjawab membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah SWT dengan ikhlas. Firman Allah ;

وَيَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهَِ
"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata..." (QS Hud : 29)

KESIMPULAN :
Seorang guru kena sampaikan ilmunya dengan bersungguh-sungguh. Bukan seperti melepaskan “batok” di tangga (tempurung diguna sebagai penceduk air dari tempayan tepi tangga rumah dahulu kala. Bukan batuk ditangga - lihat Kamus Dewan terbitan DBP)

Ada pula sebilangan yang sangat kecil, guru menjadi pemusnah. Harapkan "Pegar", Pegar makan padi (menurut Kamus Dewan, Pegar ialah sejenis burung yang dieja dalam tulisan jawi menggunakan huruf pa, ga dan ro – bunyi  “Peger” dalam loghat jawa) Maksud sebenarnya burung Pegar ini diharapkan akan memakan ulat serta kumbang yang memusnahkan pokok padi. Bukan pagar seperti yang difahami selama ini. Wallahu a'lam - Jangan jadi Mahaguru Teropong sudah ! Ukay's

Selasa, 6 Mei 2014

Ibnu Sabil ( Musafir )

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 3 Rejab 1435H)
Ibnu Sabil

Rangkai kata Ibnu sabil terdiri dari dua lafaz, iaitu lafaz ibnu dan lafaz sabil. Lafaz ibnu mempunyai makna anak, dan lafaz sabil mempunyai makna jalan. Secara etimologi, Ibnu sabil mempunyai makna orang berjalan atau orang yang berpergian atau juga musafir.
Adapun secara terminologi Ibnu sabil mempunyai makna orang yang dalam perjalanan, dinamakan juga orang yang sedang safar.
PENCERAHAN :
Dalam kitab Fathul Muin dinyatakan bahawa; Ibnu sabil adalah musafir yang melewati negara lain atau orang yang bermaksud mengadakan perjalanan yang diperbolehkan seperti untuk menuntut ilmu. Dalam kitab Fathu al-Wahab pula, disebutkan; Ibnu sabil adalah orang yang bermaksud mengadakan perjalanan atau musafir yang melewati negara pengeluar zakat dan dia sangat memerlukannya serta tidak untuk kemaksiatan.
Tugasan sebagai seorang da'ie menuntut untuk seseorang itu bermusafir. Demi untuk melihat perjuangan Islam itu terus subur dan berjaya. Sabda Nabi Muhammad SAW berkenaan kesulitan yang akan dihadapi bagi mereka yang musafir ;
"Bermusafir itu merupakan sebahagian daripada azab (kesulitan)." (HR : Al-Bukhari dan Muslim)
Ust Kay ingin mengambil kesempatan disini untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang perbahasan ringkas tentang musafir. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi Ust Kay akan bermusafir terbang ke negeri Sabah dibawah bayu. Doakan supaya selamat dan juga thabat dalam memperjuangkan dakwah Islamiah ini dan akan kembali untuk berkongsi permata dan mutiara yang diperolehi dari di sini nanti. Insya Allah !
Sayangnya Allah kepada kita... diberi hadiah yang berupa beberapa keringanan (rukhsah) yang telah disyariatkan oleh Islam bagi mereka yang bermusafir. Begitu indahnya Islam kerana memahami keadaan dan situasi penganutnya, Subhanallah ! Antaranya ialah;
1. Solat Qasar iaitu memendekkan solat fardu 4 rakaat menjadi 2 rakaat sahaja.
2. Solat Jamak iaitu menggabungkan antara 2 solat fardu dan mendirikannya dalam satu waktu sahaja. Sebagai contoh solat fardu Zohor digabungkan dengan solat fardu Asar dan dilaksanakan dalam waktu Zohor sahaja.
3. Harus membuka puasa di bulan Ramadan. (Ulama' mengingatkan bahawa syarat untuk berbuka puasa bagi mereka yang bermusafir ialah musafir itu mestilah keluar sebelum terbit fajar. Sekiranya selepas terbit fajar, maka hukumnya tetap wajib berpuasa)
4. Harus menyapu di atas khuf (stokin kulit) ketika berwuduk selama 3 hari dan 3 malam berturut-turut.
5. Harus solat sunat di atas kenderaan. Kiblat bagi jenis solat ini ialah arah yang dituju. (Ada setengah qaul pula menyatakan untuk takbiratul ihram yang pertama)
6. Sekiranya bertayammum (kerana tidak ada air) di tengah-tengah perjalanan untuk solat, maka solat tersebut tidak wajib diulang (qada') kembali.
7. Harus meninggalkan solat Jumaat. (Ada qaul sebut bahawa, untuk meninggalkan solat Jumaat seseorang itu mestilah keluar bermusafir sebelum terbit fajar. Sekiranya keluar selepas terbit fajar, maka wajib solat Jumaat)
8. Bagi mereka yang berpoligami, tidak perlu qada' giliran tidur malam bersama-sama dengan isteri-isteri yang ditinggalkan sepanjang tempoh ia bermusafir.
PENUTUP :
Doa Musafir
الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَر وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ
Wallahu a'lam - Doakan sentiasa dalam radar. Ust Kay

Muhkamat & Mutasyabihat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 7 Rejab 1435H)
Muhkamat & Mutasyabihat

Ramai sahabat yang mohon pencerahan tentang tajuk diatas. Untuk tidak menghampakan, di sini Ust Kay nyatakan secara umum dan mudah dari sudut perbezaannya sahaja dan tidak menghuraikannya secara terperinci dalam medium yang cukup terbatas ini. Untuk lebih jelas sahabat-sahabat kena bertalaqqi musyafahah di surau dan masjid berdekatan anda !
PENCERAHAN :
Al Muhkam: المتضح المعنى ; yang jelas maknanya.
Al Mutasyabih: ما ليس بمتضح المعنى; yang dikatakan tidak jelas maknanya.(penyerupaan, menyamai)
Jadi ayat-ayat Muhkamat ialah ayat yang dari segi bahasa memiliki satu makna saja dan tidak memungkinkan untuk ditakwil ke makna lain. Atau ayat yang diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Seperti firman Allah :
﴿ لَيْسَ كَمِثْلِهِ  شَىءٌ ﴾    
“Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhluk-Nya (baik dari satu segi mahupun semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya)”.
(QS. Asy-Syura: 11)                
Ayat-ayat Mutasyabihat pula ialah ayat yang dikatakan sebahagian ulama' belum jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh makna yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat. Seperti firman Allah :
﴿ الرّحْمٰنُ  عَلَى العَرْشِ اسْتَوَى ﴾ 
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang 'bersemayam' di atas Arasy." (QS. Taha : 5)
Penafsiran terhadap ayat-ayat mutasyabihat harus dikembalikan kepada ayat-ayat muhkamat. Ini jika memang berkait dengan ayat-ayat mutasyabihat yang mungkin diketahui oleh para ulama tafsir yang mahir.
Perbezaan Ayat Muhkamat dan Ayat Mutasyabihat ialah:
1.    Muhkam adalah sesuatu yang telah jelas maknanya, sedangkan mutasyabihat tidak jelas maknanya
2.    Muhkam adalah ayat yang maksudnya dapat diketahui secara langsung tanpa memerlukan keterangan lain. Sedangkan mutasyabih perlu penjelasan lagi.
3.    Muhkam adalah ayat yang dalalahnya kuat baik maksud mahupun lafaznya. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang lemah dalalahnya, bersifat mujmal, sehingga memerlukan ta’wil.
4.    Muhkam adalah ayat yang sama susunan dan urutannya yang membawa kepada makna yang tepat tanpa pertentangan. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang makna biasanya tidak terjangkau oleh akal dari segi bahasa kecuali bila ada bersamanya keterangan.
5.    Muhkam adalah ayat yang nasah dan padanya mengandung pernyataan halal, haram, hudud, faraid dan semua yang wajib di amalkan. Adapun mutasyabih iaitu ayat yang padanya terdapat mansuh, dan qasam serta yang wajib diimani tetapi perlu direnungi untuk diamalkan lantaran belum jelas makna yang dimaksudkannya.
Para ulama juga berbeza pendapat tentang kemampuan manusia untuk memahami ayat-ayat mutasyabihat ini. Sebahagian mengatakan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mengerti tentang maknanya, manusia hanya wajib mengimaninya saja.
Sebahagian ulama pula menolak untuk membiarkan ayat Al-Quran itu tidak mampu difahami kerana Al-Quran dibuat dengan bahasa Arab yang jelas. Mustahil orang Arab tidak mampu memahaminya. Aneh rasanya bila Allah memberikan Al-Quran kepada manusia sebagai petunjuk namun ada ayat-ayatnya yang tidak mampu difahami oleh manusia itu sendiri.
KESIMPULAN
Sebenarnya, wajib kita beriman bahawa seluruh ayat Al-Quran sama ada muhkam atau mutasyabih adalah ayat-ayat yg jelas lagi terang. Menjadi keliru sekiranya kita mengatakan bahawa ayat-ayat mutasyabihat itu ayat yg kurang jelas atau samar-samar sebab Allah menyatakan Al-Quran itu adalah petunjuk "Hudan" daripada Allah SWT.
Mana mungkin petunjuk atau Hudan / Hidayah itu boleh kabur atau samar-samar.
Wallahu a'lam - Mengkaji dan mengaji Al-Quran. CCUK

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...