Ahad, 29 Jun 2014

Pimpinlah Hati Ramadan Ini

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 29 S'ban 1435H)
Pimpinlah Hati Ramadan Ini...

Hati yang tidak dipimpin disebut sebagai hati yang liar. Bila hati liar ia pasti jauh dari mencintai Pencipta hati tersebut. Malah hati yang liar menjadi tempat kegemaran syaitan bersarang. Justeru, kesempatan yang ada jika kita ditemukan dengan Ramadan pada tahun in, janganlah dipersia-siakan begitu sahaja. Masa yang terbaik pada bulan tarbiyyah dan melalui madrasah Ramadan ini nanti...

PENCERAHAN :
Hati memang mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupannya. Di antara cara-cara memimpin hati ialah:

1) Ada ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

2) Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
a. Mujahadatunnafsi
b. Istiqamah
c. Tafakur
d. Bergaul dengan orang yang baik-baik
e. Pimpinan mursyid

A. MUJAHADATUNNAFSI
Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyu-cikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli  - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli  - terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.

Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan Riadatunnafsi (latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu). Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

1. Takhalli :
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (HR : Al Baihaqi)

Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu. Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya:  “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)

2. Tahalli
Tahalli bererti menghias. Iaitu perkataan lawan bagi takhalli. Sesudah kita mujahadah yakni mengosongkan hati dari sifat-sifat terkeji atau mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami, cuba gambarkan hati kita sebagai sebuah mangkuk yang kotor.

Kemudian mangkuk itu dibersihkan. Setelah bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan barang-barang yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah dengan hati yang telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi. Janganlah dibiarkan ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifat-sifat mahmudah pula.

3. Tajalli
Adalah sejenis perasaan yang bersifat maknawiah (zauk). Tajalli secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah perasaan rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh tertuju pada Allah. Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam mencintai-Nya dengan tidak putus-putus lagi. Harapan dan pergantungan hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah.

B. ISTIQAMAH
Sikap istiqamah (tetap) beramal adalah benteng iman yang keempat. Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?

Kebaikan dari sikap istiqamah ini ialah:
1. Amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.
2. Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita.
3. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seimbang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu. Maknanya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak kita.

C. BERTAFAKUR
Seterusnya kita lalui jalan berfikir
Berfikir yang dimaksudkan di sini ialah merenung dengan hati dan akal tentang ciptaan Tuhan hingga datang rasa insaf dan terasa kelemahan diri. Misalnya memikirkan rahsia ciptaan alam sehingga terasa kebesaran Allah dan timbul rasa gerun pada kekuasaan-Nya. Seterusnya memikirkan rahsia perjalanan hati yang bergelombang antara berbagai alunan rasa mazmumah dan mahmudah.

D. BERGAUL
Tarbiah dan didikan juga boleh didapati melalui pergaulan. Imam Al Ghazali r.hm. ada berkata, di antara cara-cara yang praktikal untuk membaiki diri, hendaklah kita bergaul dengan orang ramai. Melalui pergaulan dapat dikesan sifat-sifat buruk kita. Manusia umum biasanya lebih memperkatakan tentang keburukan kita daripada kebaikan kita yang kadang-kadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu itu satu kejahatan. Jadi bila kita dikata orang, barulah kita tahu akan kejahatan diri. Maka di waktu itu mudahlah untuk membaikinya.

E. PIMPINAN MURSYID
Cara membaiki diri seterusnya ialah melalui pimpinan. Pemimpin atau guru mursyid itu mampu memimpin kerana kelebihannya yakni dia lebih tahu tentang kecacatan dan kelemahan muridnya lebih daripada muridnya mengenali dirinya sendiri. Mengetahui tentang sir dan batin muridnya. Tahu pula membaca hal-hal halus yang ada pada hati seseorang.

KESIMPULAN :
Setelah menempuh kedua-dua jalan ini, dengan hidayah dan taufik daripada Allah, hati atau roh itu akan bersih. Sedangkan hati ini merupakan raja dalam kerajaan diri. Dialah yang mengarah, dialah yang menahan, dialah yang menyuruh dan sebagainya. Sekiranya raja sudah bersih, ertinya raja itu sudah baik, maka segala anggota lahir atau jawarih seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan lain-lainnya, akan mematuhinya. Maka puasa kita nanti akan menjadi lebih sempurna pahalanya, insya Allah !. Wallahu a'lam - Hati-hati bila ada hati. Ukay's.

Ramadan World Cup : Iman Vs Nafsu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 30 S'ban 1435H)
Ramadan World Cup : Iman vs Nafsu

Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit-picit dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus (jismul latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.

PENCERAHAN :
Tapi kalau tidak ada nafsu langsung pun susah juga. Nafsu makan, nafsu untuk berketurunan, nafsu untuk kelihatan cantik dan sebagainya. Nafsu juga sebenarnya satu kurniaan dari Allah selain akal. Malaikat Allah kurniakan akal tanpa nafsu, binatang pula Allah kurniakan nafsu tanpa akal, tetapi manusia Allah SWT kurniakan kedua-duanya kepada manusia.

Sebab itu jika manusia gunakan akal untuk beriman dan bertakwa kepada Allah dengan mengawal nafsu, manusia akan lebih mulia daripada malaikat. Sebaliknya jika nafsu manusia dapat mengalahkan akalnya, manusia akan menjadi lebih hina daripada binatang. "Kal an'am balhum adhal..." Seperti binatang ternakan bahkan lebih hina (sebab binatang tidak ada akal) kata Allah.

Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu yang disenaraikan mengikut aturan tingkatannya:
1. Nafsu Ammarah
2. Nafsu Lawwamah
3. Nafsu Mulhamah
4. Nafsu Mutmainnah
5. Nafsu Radhiah
6. Nafsu Mardhiah
7. Nafsu Kamiliah

Syaitan dan nafsu menjadi sahabat, saling bantu-membantu terutamanya pada bulan Ramadan yang bermula esok. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, kerahmatan dan keampunan Allah. Tidak akan membiarkan ibadah puasa manusia sampai ke hadrat Ilahi.

Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan itu amat halus dan dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak Adam iaitu Nafsu Ammarah. Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan utuk menghilangkan kebaikan yang kita mahu lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur berkecai tanpa apa-apa makna. Khususnya sepanjang Ramadan nanti.

Oleh kerana nafsu adalah sebahagian daripada badan, maka ia sangat sulit untuk dilawan. Tetapi usaha melawan nafsu mesti dilakukan. Jika tidak, manusia akan sentiasa terdorong untuk berbuat kejahatan dan kezaliman. Allah S.W.T. telah berfirman;

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (QS Yusuf : 53)

Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan untuk merosakkan manusia. Ini diterangkan oleh Hadith Rasu­lullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikut aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan itu melalui lapar dan dahaga (yakni puasa)”. (HR : Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Anas). Ini menunjukkan syaitan boleh dilawan dengan melawan hawa nafsu secara bermujahadah mengurangkan makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan merosakkan manusia terbuka luas.

Justeru, untuk mengalahkan syaitan mesti dengan mendidik hawa nafsu. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus. Cara menjampi mempergunakan ayat Al-Quran seperti ayat Kursi, Surah An-Nas dan lain-lain hanya boleh digunakan jika syaitan merosakkan atau mengganggu jasad lahir manusia. Memang ada nas yang membolehkannya. Tetapi jika syaitan telah merosakkan hati cara melawannya ialah dengan mendidik hawa nafsu.

Cuba kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ada ketika belajar atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai. Ramai yang mulanya ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tinggi ukhuwahnya, selalu makan bersama dan berpelukan bila bertemu, tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.

Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu (futur) dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riya’ dan sombong.

Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia di hujung senja, ia menjadi manusia biasa. Ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang pejuang fi sabilillah, tetapi sebagai seorang biasa yang tidak peka dan mengambil apa-apa tindakan dengan suasana semasa malah hanya relaks dengan kepentingan peribadi semata-mata. Alangkah ruginya kehidupan, alangkah ruginya usia dan masa.

Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri dan lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT.

Orang yang tenang dalam mengingati Allah adalah musuh syaitan. Ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakannya. Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara, perniagaan, harta, jawatan, musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan sepenuhnya segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri manusia untuk menggoncangkan ketenangannya.

Hari ini syaitan bertepuk tangan. Ia telah berjaya menyelinap ke dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang sesama mereka. Mereka yang dahulunya kelihatan kuat, hebat dalam berpidato, berkasih sayang dengan erat, tapi hanya kerana masalah khilafiah, ada yang berpecah belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil. Caci mencaci, fitnah menfitnah, pulau memulau mula dan sudah berlaku. Sesungguhnya segala permusuhan mereka itu adalah di atas jalan syaitan dan nafsu.

KESIMPULAN :
Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur di medan jihad, tetapi gugur di lembah nafsu. Mereka semua terkena bom atau peluru yang dilontarkan oleh syaitan. Keilmuan, keimanan dan kasih sayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng dalam mempertahankan diri. Sekadar mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri. Sebagai musuh, ia sudah menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan habis-habisan kepada kita pada bulan Ramadan ini melalui tentera upahannya iaitu NAFSU !
Wallahu a'lam - Ramadan nanti, nafsu makan dan nafsu tidur biasanya yang paling success ! Ukay's.

Sedekah Di Bulan Ramadhan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Ahad, 1 Ramadhan 1435H)
Sedekah Di Bulan Ramadhan

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan bulan Ramadhan, amalan ini menjadi lebih dianjurkan lagi. Demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, iaitu dermawan. Maka bulan puasa inilah Akademinya, tarbiyyah dan madrasahnya.

PENCERAHAN :
Sifat kedekut dan bakhil adalah akhlak yang buruk dan bukanlah akhlak seorang mukmin sejati. Begitu juga, sifat suka meminta-minta. Bahkan sebaliknya seorang mukmin itu banyak memberi. Sebagaimana sabda SAW:

اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.”
(HR : Bukhari)

Bersedekahlah setiap hari pada bulan Ramadhan, tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Bersedekah dibulan puasa diampunkan dosa yang banyak dan berlipat kali ganda pahalanya. Dicurahkan rahmat oleh Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga dan terjauh dari bala bencana. Qaul ulama' sedekah itu ada 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat, iaitu;

5 Di Dunia :
1. Menyuburkan harta
2. Menyucikan badannya
3. Menolak bala' dan penyakit
4. Menggembirakan orang miskin dan mukmin
5. Menambah berkat hartanya dan diluaskan rezekinya

5 Di Akhirat :
1. Dinaungi Allah di hari kiamat
2. Diringankan hisabnya
3. Diberatkan timbangan amalannya di akhirat
4. Dimudahkan melalui titian sirat
5. Ditambah darjatnya didalam syurga

Nabi Muhammad SAW adalah teladan terbaik bagi kita, baginda adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan beliau lebih dahsyat lagi di bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”
(HR : Bukhari)

Salah satu sebab Rasulullah SAW memberi teladan untuk lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadhan adalah kerana bersedekah di bulan ini lebih dahsyat dibanding sedekah di bulan lainnya. Diantara keutamaan sedekah di bulan Ramadhan adalah:

1. Puasa digabungkan dengan sedekah dan solat malam sama dengan jaminan syurga.

إن في الجنة غرفا يرى ظاهرها من باطنها وباطنها من ظاهرها أعدها الله لمن ألان الكلام وأطعم الطعام وتابع الصيام وصلى بالليل والناس نيام

“Sesungguhnya di surga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.” (HR : At-Tirmizi)

2. Mendapatkan tambahan pahala puasa dari orang lain.
Kita telah mengetahui betapa besarnya pahala puasa Ramadhan. Bayangkan jika kita boleh menambah pahala puasa kita dengan pahala puasa orang lain, maka pahala yang kita raih lebih berlipat lagi. Subhanallah! Dan ini dapat terjadi dengan sedekah, iaitu dengan memberikan hidangan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

من فطر صائما كان له مثل أجره ، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR. At Tirmizi)

Padahal hidangan berbuka puasa sudah cukup dengan tiga butir kurma atau bahkan hanya segelas air, sesuatu yang mudah dan murah untuk diberikan kepada orang.

3. Bersedekah di bulan Ramadhan lebih dimudahkan.
Salah satu keutamaan bersedekah di bulan Ramadhan adalah bahawa di bulan mulia ini, setiap orang lebih dimudahkan untuk berbuat amalan kebaikan, termasuk sedekah. Di bulan Ramadhan ini Allah mudahkan hamba-Nya untuk berbuat kebaikan, sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW:

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار ، وصفدت الشياطين

“Bila datang bulan Ramadhan, pintu syurga akan dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.”
(HR : Bukhari)

KESIMPULAN :
“Sesungguhnya Allah mencatat setiap amal kebaikan dan amal keburukan.” Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan: “Orang yang meniatkan sebuah kebaikan, namun tidak mengamalkannya, Allah mencatat baginya satu pahala kebaikan sempurna. Orang yang meniatkan sebuah kebaikan, lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali lipat banyaknya.” (HR : Muslim) Bayangkanlah kalau amal kebaikan tersebut seperti sedekah di buat pada bulan Ramadhan pula...
Wallahu a'lam - Berkata yang baik / menulis perkataan yang baik-baik dalam Whatsapp dan Telegram juga satu sedekah. Ukay's

Ramadan Bulan Menambah Ilmu

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Terawih) Isnin, 2 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN MENAMBAH ILMU - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,
Daripada Abu Waqid al-Laythi, bahawa ketika Rasulullah SAW duduk di masjid, ...Apabila Rasulullah SAW selesai (daripada bicaranya) baginda bersabda: “Mahukah aku ceritakan kepada kamu tentang tiga orang yang datang itu? Yang seorang itu telah mencari perlindungan kepada Allah, (duduk dalam majlis ilmu) maka Allah memberi perlindungan kepadanya dan seorang lagi pemalu, (duduk majlis ilmu tapi jauh-jauh) maka Allah malu kepadanya. Manakala yang seorang lagi berpaling, maka Allah berpaling juga daripadanya." (HR : Al-Bukhari dan Muslim)
PENCERAHAN :
Inilah yang terjadi bila diadakan tazkirah atau majlis ilmu selepas Solat Sunat Terawih. Biasanya selepas 8 raka'at sebelum Solat Sunat Witir. Kalau selepas Witir lagi dahsyat, ramai yang sudah angkat kaki meninggalkan pergi. Pelik ! Yang sunat dibuat, yang wajib pula ditinggalkan. Lagi pelik bila ada yang marah-marah ketika Tazkirah Terawih diadakan dengan bertindak keluar dari masjid atau surau dan masuk semula setelah tazkirah selesai dengan alasan mengganggu 'ibadat'. Majlis ilmu itu bukan ibadat kot !
Sebenarnya, inilah kesempatan keemasan jawatan kuasa masjid atau surau untuk menyampaikan ilmu kepada ahli kariah yang selama ini menyambut sepi majlis-majlis ilmu yang diadakan. Selalunya orang yang sama sahaja yang hadir, sedangkan tersangat banyak kelebihan yang telah Allah janjikan kepada mereka yang duduk dalam majlis ilmu dan bergelar Penuntut Ilmu, antaranya ialah;
1) Allah permudahkan bagi penuntut ilmu jalan ke syurga-Nya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلىَ الجَنَّةِ
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menyusuri jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan untuk ke syurga." (HR : Muslim)
2) Allah menginginkan kebaikan bagi diri penuntut ilmu.
عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ
Daripada Muawiyah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham dalam bidang agama." (HR : Bukhari dan Muslim)
3) Ilmu menjadi amalan yang dapat dijadikan aset di akhirat nanti.
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila matinya seorang anak Adam itu, maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya."
(HR : Muslim)
4) Menuntut ilmu dikira antara ibadah dan jihad.
قَالَ مُعَاذُ بْن جَبَل رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: "تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ فَإِنَّ تَعَلُّمَهُ لِلَّهِ خَشْيَةٌ، وَطَلَبَهُ عِبَادَةٌ، وَمدَارَسَتَهُ تَسْبِيحٌ، وَالْبَحْثُ عَنْهُ جِهَادٌ، وَتَعْلِيمَهُ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ، وَبَذْلَهُ لأَهْلِهِ قُرْبةٌ، وَهُوَ الأَنِيْسُ فِي الوَحْدَةِ، وَالصَّاحِبُ فِي الخَلْوَةِ".
‏‏
Berkata Muaz bin Jabal: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntutnya kerana Allah adalah satu bentuk ketakwaan, mencarinya adalah ibadah, mengulangkajinya adalah tasbih, mengkajinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyampaikannya kepada ahlinya adalah mendekatkan diri kepada Allah. Dia adalah teman kala keseorangan dan sahabat ketika bersendirian.”
5) Penuntut ilmu dianggap sebagai pejuang di jalan Allah.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ‏:‏ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏: ‏مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ، فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِع‏

Daripada Anas r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka dia di dalam sabilillah sehinggalah dia pulang."
(HR : At-Tirmizi)
Telah berkata Al-Fakih Abu Laits As-Samarqandi di dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin: "Barangsiapa datang kepada orang alim lalu hadir dalam majlisnya serta tidak mampu mengingati atau menghafal pelajaran tersebut maka baginya tetap mendapat 7 macam kemuliaan." Antaranya;
1- Dia akan mendapat kemuliaan orang-orang yang belajar agama.
2- Selama dia duduk di dalam majlis tersebut, dia akan tertahan daripada berbuat dosa dan kesalahan.
3- Apabila dia keluar daripada rumahnya turun rahmat ke atasnya.
4- Apabila duduk dia di sisi orang alim tersebut maka turun rahmat ke atas penuntut-penuntut ilmu, maka menimpa dia juga dengan berkat majlis tersebut.
5- Selama dia mendengar ilmu tersebut nescaya dituliskan baginya kebajikan.
6- Malaikat menaungi ke atas mereka dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan majlis tersebut.
7- Tiap-tiap kali kakinya melangkah dikifarahkan segala dosa-dosanya dan dinaikkan beberapa darjat dan ditambah segala kebajikan ke atasnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,
SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Begitulah betapa banyaknya kelebihan yang telah Allah sediakan bagi penuntut ilmu. Tidak kiralah apa-apa ilmu pun, asalkan ilmu itu bermanfaat dan bukanlah ilmu yang haram seperti ilmu sihir, ilmu mencuri, ilmu melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan sebagainya. Justeru, sebagai penuntut ilmu, kita haruslah sentiasa bersemangat tinggi dalam menuntut ilmu. Jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai turning point (bukan pening point) dan motivasi agar kita sentiasa istiqamah di atas landasan-Nya, Insya Allah !
Wallahu a'lam - Ramadhan bulan tambah ilmu. Ukay's

Ahad, 22 Jun 2014

Program Jom Solat Dan Mudahnya Solat

Program ini telah diadakan pada bulan april yang lalu. Terima kasih kepada penceramah iaitu ustaz Ahmad Muhid dan  semua guru yang terlibat . Semoga usaha kalian akan mendapat ganjaran yang baik dari Allah SWT.

Selasa, 3 Jun 2014

The Miracles of Istighfar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Isnin, 4 S'ban 1435H)
The Miracles Of Istighfar !

Istighfar ialah lafaz permohonan ampun kepada Allah SWT atas dosa atau kesalahan yang dilakukan. Lazimnya jika seseorang melakukan kesalahan dan kemudian menyesal akan perbuatannya itu, maka istighfar yang disertai dengan niat taubat yang ikhlas akan dilafazkan dengan harapan agar dosa atau kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah, insya Allah...

PENCERAHAN :
uk.Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Telah jelas dan nyata, bahawa dengan bertaubat, akan dikurniakan rahmat dari-Nya. InsyaAllah, makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. lihat sahaja kisah mengenai Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu Mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya. Keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. uk.Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam. Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?. Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal” Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Janganlah segan beristighfar kerana ia termasuk di dalam perbuatan sunnah.

عَنْ الْأَغَرِّ الْمُزَنِيِّ وَكَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Dari Al Aghar Al Muzanni, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hatiku tidak pernah lalai dari zikir kepada Allah, sesungguhnya Aku beristighfar seratus kali dalam sehari." (HR : Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keajaiban Istighfar sebagaimana yang disebutkan Allah di dalam surah Nuh ayat 10 hingga 12, antaranya ialah:
1. Dapat menurunkan hujan
2. Dapat elak kefakiran
3. Dapat anak (bagi yang mandul / tiada anak). Dalilnya;
"Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (QS. Nuh : 12)

4. Doa akan dikabulkan kerana rajin berzikir beristighfar.
5. Takdir musibah yang berat diringankan oleh Allah.
6. Mengurangkan pertengkaran suami isteri. Dalilnya;
Ibnu Abbas r.a bahawa ia bercerita kepadanya, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah pasti akan selalu memberikannya jalan keluar dari setiap kesempitan dan kelapangan dari segala kegundahan serta Allah akan memberikan rezeki kepadanya dari arah yang tidak ia sangka-sangka."
(HR : Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad) uk.

7. Menjauhkan dari fitnah, dalilnya:
Dari Umar bahwa Nabi SAW selalu berlindung diri dari sifat pengecut dan bakhil, nyanyuk, seksa kubur, dan dari fitnah dada. Waki’ menerangkan; iaitu seseorang meninggal di atas fitnah dan dia tidak beristighfar kepada kepada Allah dari fitnah tersebut. (HR : Ibnu Majah dan Ahmad)

8. Termasuk sebagai penghuni Syurga
Di dalam hadis sahih Bukhari tercatat bahawa dengan membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Baginda Nabi bersabda: "Jika ia mengucapkan di waktu siang dengan penuh keyakinan lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka ia termasuk dari penghuni syurga. Dan jika ia membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk dari penghuni syurga." (HR : Bukhari, Timidzi, Ahmad dan Nasa'i)

9. Manfaat Istighfar Turut Dinikmati Orang Lain.
Dari Abu Hurairah, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza Wajalla akan mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga, hamba itu kemudian berkata; 'Wahai Rabb, dari mana semua ini? ' maka Allah berfirman; 'Dari istighfar anakmu.'"
(HR : Ahmad, Baihaqi, Tabarani dan Haitsami)

KESIMPULAN :
Nabi yang maksum yang terpelihara dari segala dosa pun sentiasa melafazkan istighfar dan memperbanyakkan bertaubat, tapi Ust Kay yang sukar untuk melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan istighfar. Allahu Allah... Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima selama ini mungkin adalah kerana hasil dosa-dosa yang telah kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa sulit tersebut.
Wallahu a'lam - Jom istighfar ! Ukay's.

.SALAM

.SALAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...